Rabu, 28 Disember 2016 | 12:03am

Tak semua boleh tulis puisi sufi


GAMBAR hiasan.

SEKIRANYA kita meletakkan Sheikh Hamzah Fansuri yang hidup pada abad ke-16 sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden, sekali gus perintis kepada puisi sufi, mistik atau metafizik Islam yang terhasil daripada pandangan alam Islam penyairnya, maka tinta emas sejarahnya sudah terlakar di alam Melayu selama enam abad.

Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas menganggap Hamzah Fansuri mewariskan khazanah kesusasteraan yang dibina dengan bahan binaan berbahasa Melayu yang rasional dan sistematik, manakala isi pemikiran berdasarkan keilmuan dalam pandangan alam Islam yang epistemologinya bukan sahaja padu, bahkan kesatuan dalam kepelbagaian dan pelbagai daripada Yang Maha Esa.

Anak murid Hamzah Fansuri yang turut menghasilkan puisi ialah Sheikh Syamsuddin as-Sumatra'i, selain Mansur seperti yang ditulis oleh Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis dalam The Ocean of Unity, manakala ulama lain yang menghasilkan puisi ialah Sheikh Abdurrauf Singkel dan Sheikh Ahmad al-Fatani.

Prof Al-Attas sendiri turut menghasilkan karya puisi, iaitu Rangkaian Ruba'iyat, manakala anak muridnya, Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dengan Mutiara Taman Abadi dan Dalam Terang yang karya mereka terpancar daripada pandangan alam Islam yang jitu serta ilmiah.

Dalam sastera moden puisi sebegini akrab dengan tokoh seperti Allahyarham Suhaimi Muhammad dan Rahimidin Zahari, manakala generasi muda alaf baharu, Lutfi Ishak tampil dengan Dondang Pembukaan yang terhasil daripada pandangan alam Islam.

Belum ada buku bincang perkembangan karya Islam

Bagaimanapun, belum ada buku yang membincangkan perkembangan puisi sufi, mistik dan metafizik Islam di alam Melayu yang dihasilkan oleh pengarang yang memiliki pandangan alam Islam yang sebenar kecuali sarjana, pengkritik dan pengarang lebih melihat kepada puisi berunsurkan Islam atau memuatkan nilai agama.

Nurazmi Kuntum dalam bukunya Teori dan Pemikiran Sastera Islam di Malaysia membezakan antara puisi sufi atau mistik itu daripada puisi yang dihasilkan penyair Muslim, bertemakan unsur Islam dan lahir daripada jiwa yang memancarkan nilai agama.

Dua ciri pertamanya boleh diterima tetapi takrif 'lahir daripada jiwa yang memancarkan nilai agama' pasti menimbulkan perdebatan kerana ia sudah tentu menafikan penyair yang berideologi sekularisme, termasuk sosialisme dan terpengaruh dengan aliran pascamodenisme.

Sudah tentu agak kontroversi kalau penyair seperti ini menghasilkan puisi kental elemen Islam dari sisi syariat dan akhlak tetapi turut mengungkapkan pemikiran yang mengalami sekularisasi atau bersikap relatif terhadap kebenaran.

Ia seperti menghasilkan puisi yang 'menangis di atas sejadah' tetapi pada masa sama menganggap apa sahaja boleh melintasi 'sejadah sastera' meskipun bercanggah dengan Tuhan yang disembah oleh tuan sejadah itu.

Bagaimanapun, ia tidaklah bermakna menafikan sama sekali nilai Islam pada karya mereka kerana tulisan pengarang non-Muslim pun boleh diambil manfaat tetapi tidak diletakkan setaraf dengan karya yang diungkapkan lewat pandangan alam Islam yang sebenar.

Apapun disebabkan tiada penyelidikan yang dibukukan dalam memerhati perkembangan puisi Islam dengan melihat kepada pandangan alam Islam dengan lebih menyeluruh, maka kita tidak akan dapat melihat satu bentuk pengungkapan puisi sufi, mistik dan metafizik di alam Melayu.

Ini antara lain menjadikan puisi dalam konteks sastera Islam di negara ini lebih bersifat luaran dan cetek sehingga tidak lebih daripada trend semata-mata sehingga penyair mungkin saja mengalami putaran pemikiran daripada Islam kepada Barat atau lebih teruk bertukar-tukar kulit mengikut persekitaran kepentingannya.

Khalayak pembaca pula menyamaratakan kedudukan puisi Islam sehingga menganggapnya semua karya tidak lebih daripada luahan dan luapan emosi penyair yang dilimpahkan dengan kata-kata berunsurkan agama, lalu menolak puisi sufi, mistik dan metafizik yang dikarang oleh pengarang dengan pandangan alam Islam.

Tidak hairanlah ramai terkejut apabila diberitahu puisi bukan sahaja menjadi bentuk penulisan matan atau teks asas dalam fiqh, tauhid dan tatabahasa Arab, bahkan sebagai wadah mengungkapkan pendidikan serta pengalaman kerohanian seperti dalam bentuk mathnawi, ruba'i dan ghazal tidak terkecuali di alam Melayu.

Kekeliruan seperti ini perlu ditangani dengan mengkaji puisi sebagai hasil peradaban Islam dengan penekanan kepada makna sastera yang bermaksud adab seperti dalam bahasa Arab berdasarkan pandangan alam Islam sehingga dapat menempatkan sesuatu karya pada kedudukannya tanpa menafikan kewujudan karya yang lebih rendah.

200 dibaca
Berita Harian X