Selasa, 3 Januari 2017 | 6:24pm

Rundingan bebas 5 mangsa culik masih berlangsung


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. - Foto NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengadakan rundingan dengan kumpulan penculik bagi membebaskan lima rakyat Malaysia yang diculik di perairan Lahad Datu pada Julai tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata lima rakyat negara ini belum dibebaskan, namun dipercayai berada dalam keadaan selamat.

Noor Rashid berkata, pihaknya masih giat meneruskan rundingan sehingga semua mangsa terbabit dibebaskan dengan selamat.

"Kita tidak akan berputus asa, malah terus berhubung dengan pihak sana daripada semasa ke semasa sehinggalah masalah ini selesai. Kita sentiasa memantau kes ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 18 Julai lalu, lima mangsa culik berkanaan dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot berkenaan dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat, Tawau, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Semua kru bot pukat tunda warga Malaysia terbabit diculik di perairan Dent Haven, Tambisan ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Semporna.

Sementara itu, Noor Rashid berkata pelaksanaan perintah berkurung di perairan negeri ini masih relevan untuk diteruskan.

28 dibaca
Berita Harian X