Rabu, 4 Januari 2017 | 12:32pm
KETUA Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail (kiri) meninjau kerja-kerja mencari dan menyelamat oleh anggota Polis Marin, Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung bagi mencari mangsa, Wan Rufkhan Danial Wan Ranzam, 14, yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir sebelum dibawa arus di Dataran Purnama di Kampung Laut petang kelmarin. - Foto Syamsi Suhaimi

Operasi cari remaja jatuh sungai diteruskan


BAPA mangsa, Wan Ramzan Wan Abd Majid, 47, (kanan) berdoa agar anaknya, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14, berjaya ditemui selepas hilang akibat tergelincir sebelum dibawa arus sungai di Dataran Purnama, petang kelmarin ketika melihat operasi SAR di Kampung Laut 2, Tumpat di sini pagi ini. - Foto Syamsi Suhaimi

TUMPAT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar Tingkatan Dua yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke saliran air di Kampung Laut 2, di sini, diteruskan pagi ini.

Operasi yang memasuki hari kedua bermula jam 10 pagi tadi membabitkan 71 anggota Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Persatuan Nelayan Tumpat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, ketika meninjau lokasi itu berkata, operasi SAR diketuai oleh Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip.

"Operasi mencari akan diteruskan sehingga mangsa ditemui meskipun arus sungai deras. Kami akan menambah aset sekiranya diperlukan dan menghantar pegawai agama dan psikologi untuk membantu memulihkan trauma keluarga mangsa.

"Misi mencari merangkumi radis 200 meter lokasi dari jarak mangsa tergelincir manakala misi menyelam sehingga jarak 10 meter kedalaman.

"Saya juga meminta agar semua pihak melakukan solat hajat sebagai ikhtiar sampingan," katanya.

Bapa mangsa, Wan Ramzan Wan Abdul Majid, 47, ketika ditemui di sini, berharap anaknya ditemui secepat mungkin.

"Walaupun harapan agak tipis (jumpa secepat mungkin) memandangkan cuaca yang masih lagi hujan dan arus kuat, saya harap akan ada keajaiban," katanya.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14, tergelincir ketika bermain air sebelum dibawa arus sungai dalam kejadian di Kampung Laut 2.

55 dibaca
Berita Harian X