Rabu, 4 Januari 2017 | 1:56pm

Aizat Amdan pindah rumah belajar berdikari


PERSEMBAHAN Aizat Amdan pada Program Doa Untukmu Rohingya anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) di Laman Santai, Istana Budaya pada 1 Januari lalu. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aizat Amdan, 28, mengakui tidak lagi menetap di rumah ibu bapanya di Ampang sejak Ogos lalu.

Sebaliknya kata bintang kelahiran Akademi Fantasia ini, beliau sudah pun berpindah ke rumah baharu di sekitar ibu kota.

Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu lebih berdikari dengan melakukan segala hal sendiri.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk belajar hidup sendiri. Begitupun, tujuan utama saya berpindah bukan kerana mahu berdikari semata-mata.

"Saya lihat lokasi rumah yang saya menetap kini dikelilingi rakan penggiat seni, sekali gus membolehkan saya untuk berkarya selain berkumpul bersama mereka untuk berkongsi idea berkaitan hal seni muzik," katanya kepada BH Online.

Aizat mendedahkan hal itu ketika ditemui pada majlis amal Doa Untukmu Rohingya anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Laman Santai, Istana Budaya, Ahad lalu.

Menurut Aizat, pada awalnya, ibunya agak sukar menerima keputusan itu kerana bimbang dengan keadaan dirinya apabila tinggal di rumah sendirian, namun selepas dipujuk, barulah hasrat itu direstui.

Sementara itu, bertanya mengenai perancangan tahun 2017, Aizat kini sibuk menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi. Terbaharu, lagu ciptaannya, Wanita Terakhir, nyanyian Fattah Amin sudah pun dilancarkan.

"Macam biasa, saya akan terus mencipta lagu dan pada masa sama menyiapkan rakaman album sendiri. Cuma saya akan keluarkan single, Jangan Menangis, ciptaan Faizal Tahir terlebih dulu. Insya-Allah ia akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Dalam pada itu saya turut menghasilkan lagu buat pelakon Indonesia, Randy Pangalila, berjudul Bekas Kekasih," ujarnya.

93 dibaca
Berita Harian X