Khamis, 5 Januari 2017 | 9:45am

Jumlah mangsa banjir di Pitas meningkat


SEBAHAGIAN daripada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sekolah Kebangsaan Rukom hari ini. - Foto BERNAMA

PITAS: Jumlah mangsa banjir di Pitas meningkat kepada 284 orang daripada 67 keluarga sehingga jam 9 pagi ini, berbanding 281 malam tadi.

Pusat pemindahan juga bertambah daripada dua kepada tiga dengan yang baharu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2, malam tadi.  

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin, berkata jumlah kampung yang terjejas akibat banjir turut bertambah kepada 16 berbanding hanya 10 semalam.

"Enam lagi kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Sosop, Pondoi, Boribi Kanibongan, Masin Kanibongan, Sulakulong Kanibongan dan Kanibongan.

"Petang semalam, 10 kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Bilangau Besar, Rukom Ulu, Sinasak Batu, Sibaung, Kusilad, Pandan Mendamai, Salimpodon Darat, Pinggan-Pinggan, Indah dan Dandun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah jalan raya yang dinaiki air turut bertambah daripada enam kepada sembilan iaitu Jalan Utama Kampung Salimpodon Darat, Kampung Indah, Kusilad (Boleh dilalui kenderaan berat), Pandan Mendamai, Layang Kanibongan, Sosop, Boribi Kanibongan, Pondoi dan Kibuluh.

122 dibaca
Berita Harian X