Khamis, 5 Januari 2017 | 3:05pm

LBS Bina sasar raih jualan RM1.5b tahun ini


PENGARAH Urusan Kumpulan LBS Bina, Tan Sri Lim Hock San pada sidang media LBS Bina capai sasaran jualan 2016 dan mengumumkan senarai projek pembangunan untuk tahun 2017. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd (LBS Bina) yakin mampu mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.5 bilion pada tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San, berkata projek hartanah Bandar Saujana Putra (BSP) dijangka menjadi antara penyumbang utama kepada sasaran jualan berkenaan.

Katanya, kumpulan berkenaan juga akan memberi lebih tumpuan kepada projek perumahan bertanah pada tahun ini.

"Fokus utama adalah menyediakan lebih banyak pilihan dalam segmen hartanah kediaman tempatan.

"Dalam keadaan pasaran hartanah yang agak perlahan sekarang, LBS Bina menyifatkan kemampuan syarikat untuk terus teguh adalah disebabkan keupayaan kami menggunakan strategi yang betul dengan penawaran yang betul pada waktu yang tepat.

"Kami juga yakin sentimen pasaran akan kembali menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini," katanya pada sesi penerangan kepada media mengenai perancangan kumpulan, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, beliau juga turut mengumumkan senarai projek pembangunan untuk tahun ini.

Dianggarkan, terdapat 13 projek pembangunan baharu dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.347 bilion.

Ia membabitkan sejumlah 5,443 unit hartanah dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,284 unit adalah kediaman mampu milik yang berharga kurang daripada RM500,000.

Beliau berkata, kebanyakan pembangunan kediaman berkenaan akan tertumpu di kawasan Lembah Klang.

"Kami faham akan cabaran yang dihadapi pembeli rumah yang mencari kediaman hampir dengan pusat bandar bagi memudahkan akses ke tempat kerja dan kemudahan asas lain," katanya.

Antara projek yang dijangka mendapat sambutan termasuklah pembangunan di BSP; Puchong (D'Island Residence, Langit and Lake dan Desiran Bayu); Bukit Jalil; Alam Perdana dan CyberSouth.

Info

*LBS Bina sedia untuk menyerahkan hampir 1,127 unit rumah dengan GDV RM463.2 juta

132 dibaca
Berita Harian X