Jumaat, 6 Januari 2017 | 9:32am

Mangsa banjir di Pitas berkurangan

PITAS: Jumlah mangsa banjir di Pitas berkurangan kepada 178 orang membabitkan 49 keluarga setakat jam 9 pagi ini berbanding 214 orang daripada 66 keluarga, petang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 168 orang berada di pusat pemindahan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, manakala 10 orang daripada empat keluarga berada di pusat pemindahan di dewan SK Pekan Dua, Pitas.

Sebuah lagi pusat pemindahan iaitu Dewan Terbuka Kampung Bilangau Besar sudah ditutup pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin, berkata semua mangsa yang masih berada di pusat pemindahan dijangka pulang hari ini jika keadaan cuaca bertambah baik.

"Subuh tadi hujan tetapi sudah reda tetapi keadaan masih mendung. Paras Sungai Bengkoka juga kekal iaitu tiga meter, namun masih di paras amaran, manakala paras Sungai Kebatasan 4.76 meter, di bawah paras waspada," katanya di sini.

Sebanyak 16 kampung di sekitar daerah ini terjejas akibat banjir sejak kelmarin.

Kampung terbabit ialah Kampung Sosop, Pondoi, Boribi Kanibongan, Masin Kanibongan, Sulakulong Kanibongan dan Kanibongan.

Turut terjejas ialah Kampung Bilangau Besar, Rukom Ulu, Sinasak Batu, Sibaung, Kusilad, Pandan Mendamai, Salimpodon Darat, Pinggan-Pinggan, Indah dan Dandun.

131 dibaca
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul (kiri) memberi kata nasihat kepada kanak-kanak mangsa banjir Daerah Pitas di Pusat Pemindahan sementara SK Rukom di Pitas. - Foto NSTP/Edmund Samunting
Keadaan SK Kusilad yang dinaiki air sejak petang kelmarin di Kampung Kusilad, Pitas. - Foto NSTP/Edmund Samunting
Berita Harian X