;
Selasa, 10 Januari 2017 | 4:46pm
Antara peserta menyertai perlumbaan pada hari pertama sempena Kejohanan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR2017). - Foto NSTP/Azhar Ramli

RLIR 2017: THA 72 laung amaran awal


Antara peserta menyertai perlumbaan pada hari pertama sempena Kejohanan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR2017). - Foto NSTP/Azhar Ramli

LANGKAWI: Pendatang baharu THA 72 memulakan rentak sulung pada saingan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2017 dengan langkah kanan apabila mendahului hari pertama kategori racing di Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, sebentar tadi.

Perlumbaan di sekitar Pelabuhan Kuah itu tertangguh sejak jam 9.30 pagi dan kesemua 30 bot daripada 8 kelas dipertandingkan - hanya mula turun beraksi kira-kira pada jam 11.30 pagi berikutan tiupan angin yang perlahan.

Pasukan yang dikemudi Don Whitcraft dari Thailand itu bagaimanapun berdepan tentangan sengit sebelum berjaya mengetepikan empat pencabar - Emagine, Black Bazza, Oi! dan wakil tempatan Uranus dengan tiupan angin mencecah serendah 2 knot menyukarkan setiap pelumba.

Pada perlumbaan 1, Emagine yang dikemudi Scott Bradley muncul pemenang apabila menamatkan saingan dengan masa 1 jam 13 minit dan 30 saat seterusnya menewaskan THA 72 dengan perbezaan kira-kira seminit.

Bagaimanapun, THA 72 yang menggunakan bot model terbaru TP 52 bangkit di perlumbaan 2, mencatat 38:05s untuk menewaskan Black Bazza di kedudukan kedua (39:51s) diikuti Emagine ketiga (40:11s) dengan juara bertahan Oi! dari Australia keempat (40:21s).

Keputusan itu sekali gus membolehkan THA 72 mendahului hari pertama perlumbaan dengan tiga mata mengatasi Emagine satu mata di kedudukan kedua manakala Black Bazza dan Oi! berkongsi tempat ketiga dengan tujuh mata. 

Wakil tunggal negara bagi merebut Piala Cabaran Perdana Menteri itu, Uranus yang dikemudi Hairolnizam Hat melengkapkan senarai lima pasukan di kedudukan terakhir dengan sembilan mata.

Sementara itu, wakil tempatan Mata Hari mencipta kejutan apabila mengungguli saingan kelas IRC 1 dengan mengatasi rakan senegara Insanity dan PH Plus masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan pencabar dari Amerika Syarikat, Linda keempat.

84 dibaca
Berita Harian X