Jumaat, 13 Januari 2017 | 1:34pm

Abang Johari angkat sumpah KM Sarawak baharu petang ini


Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

PETRA JAYA: Pemilihan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengakhiri teka-teki siapa dipilih sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Pemilihan Abang Johari, 65, sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam itu bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, Rabu lalu.

Beliau yang ketika ini memegang portfolio perumahan dan pelancongan negeri dijadualkan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, di sini jam 3 petang ini.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ketika mengesahkan pemilihan itu, berkata keputusan dibuat sebulat suara dalam mesyuarat khas pemimpin kanan parti di kediaman peribadi Abdul Taib di Demak Jaya, di sini pagi tadi.

"Pengalaman Datuk Amar Abang Johari (Abang Openg) diyakini mampu meneruskan kesinambungan jentera pentadbiran negeri.

"Malah, pemilihan itu mendapat sokongan penuh pucuk pimpinan PBB dan segenap lapisan ahli di peringkat akar umbi," katanya sejurus meninggalkan kediaman Abdul Taib.

Difahamkan, pemilihan Abang Johari adalah berdasarkan kedudukan terkanannya dalam PBB yang juga parti tulang belakang BN Sarawak, selain portfolio dalam kerajaan negeri.

Malah, keputusan itu juga dikatakan mendapat restu Abdul Taib yang cukup mengenali Abang Johari ketika mengetuai kepemimpinan negeri selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri.

Selain Awang Tengah, turut menyertai mesyuarat khas itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

233 dibaca
Berita Harian X