Jumaat, 13 Januari 2017 | 6:28pm

Nintendo perkenal permainan konsol Switch terbaharu


NINTENDO Switch. - Foto EPA

TOKYO: Nintendo hari ini melancarkan permainan konsol Switch terbaharunya yang boleh digunakan di rumah atau semasa sedang bergerak.

Pelancaran itu dilihat boleh mengimbangi jualan Wii U yang mengecewakan, di samping memberi saingan sengit kepada permainan PlayStation 4 (PS4) keluaran Sony yang amat terkenal.

Peranti hibrid itu muncul di kala prestasi Nintendo merosot teruk dalam pasaran permainan mudah alih selepas memperoleh kejayaan besar menerusi Pokemon Go.

Menurut syarikat itu, permainan konsol terbaharu itu dipenuhi 'DNA hiburan' Nintendo dengan elemen peranti terdahulu, termasuk peranti boleh pegang 3D dan pengesan pergerakan Wii.

Sebelum acara itu berlangsung, Daiwa Securities menyifatkan pelancaran berkenaan sebagai titik perubahan kepada pendapatan dan harga saham Nintendo.

Bagaimanapun, Switch berhadapan permulaan yang tidak begitu baik pada Oktober lalu apabila tayangan ringkas yang diadakan untuk penganalisis permainan meninggalkan pelbagai persoalan yang tidak dijawab.

Switch mempunyai skrin boleh alih yang membolehkan pemainnya menggunakan peranti berkenaan di rumah atau komputer tablet dengan alat kawalan boleh tanggal di kedua-dua bahagian. Ia juga menggunakan katrij berbanding cakera.

Pelancaran Switch dilihat penting kepada Nintendo yang memerlukan produk hit bagi mengimbangi kegagalan Wii U dan 3D kerana pesaingnya Sony semakin menunjukkan peningkatan jualan PS4 yang sehingga kini sudah mencecah jualan 50 juta unit di seluruh dunia sejak dilancarkan pada tahun 2013.

November lalu, Sony mula menjual PS4 Pro pada harga AS$400 (RM1,784) yang menjanjikan grafik yang lebih jelas berbanding versi terdahulu.

Selepas bergelut untuk memperbaiki kelemahan kewangannya, Nintendo mengabaikan polisi hanya mengeluarkan permainan konsol dan mula memasuki pasaran permainan telefon pintar. - AFP

Berita Harian X