Isnin, 16 Januari 2017 | 6:18pm

'Polis' tipu kutip bayaran bebaskan tahanan lokap

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dan memburu dua lagi yang lain selepas dipercayai terbabit kes penipuan urusan membebaskan tahanan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Dua daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an, ditahan pada 12 Januari lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Dang Wangi, dalam serbuan berasingan di Nilai dan Sepang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, suspek terbabit menyamar sebagai pegawai kanan polis IPD Dang Wangi dan menghubungi waris kepada tahanan lokap.

"Suspek kemudian meminta wang tunai berjumlah RM50,000 sebagai bayaran jaminan untuk melepaskan tahanan yang disiasat atas kesalahan berkaitan dadah dari lokap Dang Wangi.

"Akibat terdesak dan terpedaya dengan helah suspek, waris tahanan kemudian menyerahkan wang berjumlah RM43,050,00 secara berperingkat ke dalam satu akaun bank," katanya kepada media, petang tadi.

Katanya, selepas menyerahkan wang, waris mengesan sesuatu yang mencurigakan apabila tahanan masih tidak dilepaskan menyebabkan mangsa membuat laporan polis.

"Kita dapati suspek bergerak secara kumpulan dan sedang mengesan dua ahli yang masih bebas," katanya.

Mereka adalah Premantharan Pillay Vijayantharan, 39 dan Gobal Raman, 40.

Mereka yang mengenali suspek diminta menyalurkan maklumat kepada Inspektor Mohamad Azhari Abd Aziz di talian 016-2223903 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

366 dibaca
Berita Harian X