Selasa, 17 Januari 2017 | 5:19pm
Pengarah Pembangunan Permainan 3D J Revolusi, Erfan Nasir Ali menunjukkan demostrasi permainan di Majlis Pelancaran Permainan 3D First Person Shooter oleh Kumpulan Media Prima Labs Berdasarkan Filem J Revolusi. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

MPD lancar J Revolusi, permainan berasas filem pertama


Pelakon Filem J Revolusi, Zul Ariffin dan Pengurus Besar Kanan Media Prima Labs Dan Operasi, Nicholas Sagau, menunjukkan aplikasi permainan 3D J Revolusi di Majlis Pelancaran Permainan 3D First Person Shooter oleh Kumpulan Media Prima Labs Berdasarkan Filem J Revolusi. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

PETALING JAYA: Media Prima Digital (MPD), anak syarikat Media Prima Berhad (MPB) memperkenalkan produk digital terbaharu, J Revolusi, iaitu aplikasi permainan 'first person shooter' (FPS) berasaskan filem yang pertama di Malaysia.

Permainan maya yang dibangunkan menerusi Media Prima Labs (MP Labs) itu diinspirasikan oleh filem aksi dengan tajuk sama, J Revolusi dibintangi Zul Ariffin dan Izara Aishah yang bakal menemui penonton pada 2 Mac depan.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan MP Labs dan Operasi, Nicholas Sagau, berkata pihak mensasarkan sebanyak 500,000 muat turun bagi permainan itu dalam tempoh tiga bulan ia dilancarkan.

"Permainan sudah boleh dimuat turun sejak tiga minggu lalu dan kami menerima pelbagai maklum balas dan membuat penambahbaikan sepanjang tempoh itu.

"Kami yakin J Revolusi akan mendapat maklum balas positif, khusus melihat kepada pasaran aplikasi permainan di Malaysia pada tahun lalu yang berjaya membuat pulangan kira-kira AS$2 bilion," katanya pada sidang media pelancaran permainan mudah alih J Revolusi di sini, hari ini.

Permainan mudah alih J Revolusi membolehkan pemain memilih dua watak utama filem itu, Eddie dan Jay yang bertugas dalam Skuad Khas Elit Malaysia menyelesaikan misi menggunakan pelbagai senjata seperti M4 Carbine, MP5, Glock 18, SPAS12 dan Remington 700.

Lebih menarik, karakter Eddie dan Jay menyerupai pelakon utama filem J Revolusi, iaitu Zul Ariffin dan Izara Aishah, selain suara mereka berdua turut digunakan dalam permainan itu.

Selain kesan grafik tiga dimensi (3D), bunyi dan muzik menarik serta latar canggih, permainan J Revolusi turut menampilkan latr bangunan ikonik Menara Berkembar PETRONAS, menjadikannya dekat dengan pemain di Malaysia.

Aplikasi permainan J Revolusi kini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple Store dan Google Play Store, sekali gus menghangatkan kemunculan filem berkenaan pada Mac.

34 dibaca
Berita Harian X