Jumaat, 20 Januari 2017 | 2:18pm

Bekas pemain sepak takraw negara dipenjara sehari


TERTUDUH bekas pemain sepak takraw negera, Mohd Firdaus Abd Ghani, 39, (kiri) dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu berhubung kes samun. -Foto Muhammad Zuahiri Zuber

AYER KEROH: Seorang bekas pemain sepak takraw negara dipenjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu berhubung kes samun, Disember tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Abd Ghani, 39, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa sengaja membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian samun di Balai Polis Tanjung Minyak, jam 1.30 pagi, pada 30 Disember 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban yang melakukan pendakwaan, memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan tidak bekerja dan menanggung isteri serta dua anak.

676 dibaca
Berita Harian X