Jumaat, 20 Januari 2017 | 4:17pm

Maut dirempuh ketika periksa lori terbalik


KEADAAN tiga buah kenderan yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2.- Foto NSTP /Shamsudin Husin

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori ais terbunuh selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat di Kilometer 263, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Perasing, Kemaman, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.30 pagi itu, Sazuardi Mohammad Jari, 38, dari Pasir Mas, Kelantan yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Johor Bahru, gagal mengawal kenderaannya hingga terbabas.

Mangsa dikatakan keluar dari lori dan memeriksa lorinya yang terbalik dan tiba-tiba dilanggar sebuah Toyota Fortuner.

Sejurus kemudian, sebuah Proton Persona yang dinaiki pasangan suami isteri merempuh pula Toyota Fortuner berkenaan. Akibat rempuhan itu, pasangan terbabit dan pemandu serta penumpang di dalam kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata Sazuardi yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Semua mangsa lain dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanju selepas dikeluarkan sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Cheneh," katanya.

Beliau berkata, nahas itu dipercayai disebabkan jarak penglihatan yang terhad berikutan kabus tebal dan keadaan gelap.

326 dibaca
Berita Harian X