Sabtu, 21 Januari 2017 | 10:22am

Polis serbu premis hiburan tiada lesen

sitiazila@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Dipersembahkan dengan tarian menggiurkan sambil menikmati minuman keras.Itu antara hiburan yang disediakan kepada pelanggan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ceylon Bukit Bintang, di sini, ketika diserbu polis tengah malam tadi.

Serbuan jam 12.15 malam itu dilakukan lapan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, diketuai Asisten Superintendan Nasir Ismail.

Hasil pemeriksaan mendapati, premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah untuk beroperasi.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata seorang lelaki yang juga pengurus premis berusia 23 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas, dua buah peralatan audio serta resit pembayaran.

"Ketika diserbu, premis dipenuhi pelanggan lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an dan 40-an, yang sedang berhibur sambil minum minuman keras.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang aktiviti lain di premis ini dan hanya beroperasi tanpa lesen," katanya.

Beliau berkata, tindakan saman dikenakan terhadap premis itu mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992 kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah.

Lima pengawal keselamatan turut ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk proses dokumentasi.Sementara itu, sebuah lagi premis turut disaman kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan.

Tindakan itu dibuat ketika pemeriksaan di premis yang terletak di Jalan Changkat, awal pagi semalam.Sukri berkata, seorang lelaki yang juga pengurus premis berusia 45 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Premis itu mempunyai lesen perniagaan sah tetapi beroperasi melebihi masa."Tindakan dikenakan mengikut Seksyen 27 Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993," katanya.

150 dibaca
Berita Harian X