Sabtu, 21 Januari 2017 | 11:35am

PBB bincang calon PRK Tanjong Datu


KETUA Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg. - Foto Ihsan Jabatan Ketua Menteri.

PETRA JAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat khas dipercayai bagi membincangkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, 18 Februari depan.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg yang kini menjalankan tugas selaku Presiden parti berkenaan tiba di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, jam 11.05 pagi ini.

Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pemimpin kanan parti, termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; dua Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Selepas mesyuarat MKT PBB itu, satu lagi mesyuarat khas komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak dijadual diadakan di lokasi sama, petang ini.

PRK Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandang kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung.

Setakat ini, beberapa nama disebut-sebut akan bertanding bagi mengisi kekosongan itu, termasuk anak Allahyarham Adenan, Abdul Aziz Adenan.

103 dibaca
Berita Harian X