Ahad, 22 Januari 2017 | 12:02pm
PDRM logo[FOTO /BH]

Premis hiburan beroperasi lebih masa diserbu

KUALA LUMPUR: Polis terus bertindak tegas terhadap pengusaha pusat hiburan yang beroperasi lebih masa apabila menyerbu sebuah lagi premis di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 3.40 pagi itu dilakukan lapan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, diketuai Asisten Superintendan Nasir Ismail.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sukri Kaman, berkata ketika pemeriksaan, terdapat ramai pelanggan lelaki dan wanita berusia 20-an hingga 40-an di dalam premis itu yang sedang berhibur sambil minum minuman keras.

"Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang juga pengurus pusat hiburan ditahan kerana gagal menunjukkan lesen perniagaan ketika diminta.

"Tindakan saman kemudian dikenakan terhadap premis itu mengikut Seksyen Seksyen 27 Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1993)," katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 12 tengah malam hingga jam 3 pagi namun terdapat pengusaha yang berdegil dengan melanjutkan waktu perniagaan mereka.

Katanya, operasi akan dibuat secara berterusan bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan ditetapkan dan membanteras aktiviti tidak bermoral.

57 dibaca
Berita Harian X