Isnin, 23 Januari 2017 | 5:38pm

Eksport industri kandungan kreatif dijangka meningkat


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud hadir pada majlis penyerahan MoU antara MATRADE dan CICC di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Eksport industri kandungan kreatif Malaysia dijangka meningkat tiga hingga lima peratus tahun ini berbanding RM6.8 bilion yang dicatatkan pada tahun 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata peningkatan itu dijangka disumbangkan jalinan kerjasama terkini antara Malaysia dan China dalam mempromosikan perdagangan kandungan kreatif antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan China Intercontinental Communication Co., Ltd (CICC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) hari ini untuk bekerjasama menghubungkan pemain industri kandungan kreatif kedua-dua negara bertukar produk mereka.

Malah katanya, kerjasama strategik itu juga membolehkan pemadanan perniagaan diadakan menerusi program penyumberan antarabangsa MATRADE.

"Kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan perdagangan kedua-dua negara," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan MoU antara MATRADE dan CICC di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud dan Naib Presiden, Jing Shuiqing.

128 dibaca
Berita Harian X