Isnin, 23 Januari 2017 | 5:47pm

Banjir: APM hantar makanan ke SMK Pitas 2


KEADAAN banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas 2, Pitas. - Foto Lano Lan

PITAS: Seramai 500 pelajar asrama, kakitangan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas 2, di sini, terperangkap selepas laluan masuk ke sekolah berkenaan terputus akibat banjir, sejak Sabtu lalu.

Ia berikutan jalan menghubungkan sekolah dengan laluan utama ke pekan Pitas ditenggelami air sedalam antara 0.5 meter hingga 1.5 meter dengan jarak hampir satu kilometer, manakala kawasan sekolah turut dinaiki air dengan sebahagian kelas di tingkat bawah ditenggelami hingga 0.5 meter.

Bantuan makanan dan minuman untuk keperluan pelajar dan guru yang tinggal di kuarters sekolah terpaksa dihantar menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Pegawai APM Pitas, Bakrin Shamsudin, berkata pihaknya menghulurkan bantuan bot untuk menghantar bekalan makanan dan minuman yang dibeli oleh kakitangan sekolah bagi menampung keperluan semua warga sekolah yang terperangkap.

"Dengan menggunakan dua aset bot APM yang disediakan berhampiran Kampung Kusilad, sepasukan anggota memberi bantuan kecemasan kepada kakitangan SMK Pitas 2I kerana laluan masuk ke sekolah itu terputus," katanya.

Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 749 mangsa banjir daripada 232 keluarga berada di enam pusat pemindahan di Pitas iaitu dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon, dewan SK Rukom, dewan SK Pekan Pitas 2, dewan Kampung Kusilad, dewan Kampung Sinukab dan dewan Komuniti Kampung Indah.

60 dibaca
Berita Harian X