Selasa, 24 Januari 2017 | 12:26pm

Polis serah 33 kereta klon kepada JKDM


MOHD Sukri (kanan) bersama Zaida (tengah) melihat sebahagian daripada 33 buah kenderaan klon yang dirampai selepas selesai sidang media dalam majlis penyerahan rampasan kereta klon di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. -Foto NSTP Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 buah kenderaan klon diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, hasil rampasan menerusi Ops Lejang Khas oleh Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Kesemua kenderaan dianggarkan bernilai RM3 juta itu dirampas menerusi beberapa siri operasi yang dijalankan sekitar pertengahan tahun 2015 hingga hujung tahun lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah polis daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata selain rampasan, polis turut menahan 33 individu berusia antara 25 hingga 44 tahun, terdiri daripada pembeli kenderaan klon terbabit.

"Ada di antara mereka mendakwa tidak tahu bahawa kenderaan yang dibeli itu adalah kenderaan klon dan ada juga yang membeli kenderaan itu kerana tawaran harganya yang rendah berbanding harga pasaran.

"Antara jenis kenderaan yang dirampas adalah Honda Odyssey, BMW, Mini Cooper dengan tawaran harga antara RM20,000 hingga RM50,000," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Pada sidang media itu, turut diadakan upacara simbolik penyerahan kunci kereta klon kepada pihak JKDM Kuala Lumpur yang diwakili Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan/Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur, Zaida Hussin.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan dan risikan bagi mengesan sindiket yang menjalankan penjualan kereta klon terbabit yang diseludup masuk dari negara jiran.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah tertarik dengan tawaran harga kenderaan yang terlalu rendah, terutama membabitkan kereta mewah.

61 dibaca
Berita Harian X