Khamis, 26 Januari 2017 | 12:19pm

Presiden Mexico kecam keputusan bina tembok sempadan


PRESIDEN Mexico, Enrique Pena Nieto mengecam keputusan Presiden Donald Trump yang mengarahkan pembinaan tembok sempadan. - Foto AP

MEXICO CITY: Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto mengecam keputusan Presiden Donald Trump yang mengarahkan pembinaan tembok sempadan di kedua-dua negara.

Susulan itu, beliau mengarahkan pihak konsulat supaya melindungi hak pendatang di Amerika Syarikat (AS).

Malah, pemimpin pembangkang mendesak Pena Nieto supaya membatalkan pertemuan dengan Trump di Washington minggu depan.

Namun, setakat ini tiada kenyataan sama ada pertemuan itu akan diteruskan atau sebaliknya.

"Saya kesal dan mengutuk keputusan Amerika Syarikat untuk meneruskan pembinaan tembok itu kerana ia memisahkan kita, berbanding menyatukan kita," katanya dalam mesej ringkas di televisyen.

Sementara itu, pemimpin pembangkang berhaluan kiri, Andres Manuel Lopez Obrador, menggesa kerajaan memfailkan saman terhadap Trump di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menganggap arahan bagi membina tembok di kawasan sempadan sepanjang 3,200 kilometer itu sebagai 'menghina negaranya'.

"Saya menggesa kerajaan Mexico memfailkan saman di PBB terhadap kerajaan Amerika kerana melanggar hak asasi manusia dan diskriminasi perkauman," katanya kepada penyokong di utara Mexico City.

Lopez Obrador juga menggesa rakyat negara itu menentang dasar Trump, yang mencetuskan kemarahan ketika berkempen kerana menyasarkan pendatang Mexico.

Dasar Trump terhadap Mexico memberi tekanan kepada Pena Nieto dan bantahan terhadapnya semakin memuncak setiap hari.

Populariti Pena Nieto juga semakin merudum berbanding berbanding presiden sebelumnya.

Pena Nieto dan Trump dijangka mengadakan rundingan pada 31 Januari ini dan pembangkang mendesak beliau membatalkan pertemuan itu. - AFP/REUTERS

215 dibaca
Berita Harian X