Khamis, 26 Januari 2017 | 10:56pm

Presiden Mexico mungkin batal jumpa Trump


PRESIDEN Enrique Pena Nieto. - Foto EPA

MEXICO CITY: Presiden Enrique Pena Nieto menimbang membatalkan pertemuannya dengan Donald Trump minggu depan ketika beliau mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu membina tembok di sempadan.

Pembuat dasar memberi tekanan kepada Presiden Mexico itu supaya membatalkan pertemuan Selasa depan di Washington selepas Trump menunaikan janji kempennya dengan segera mengarahkan pembinaan tembok terbabit.

"Saya kesal dan mengutuk keputusan AS untuk terus membina tembok yang selama bertahun memisahkan kita berbanding menyatukan kita.

"Saya sudah mengatakan berkali-kali, Mexico tidak akan membayar untuk sebarang pembinaan tembok. Mexico juga memberi dan menuntut rasa hormat sebagai negara berdaulat," kata Pena Nieto dalam ucapan disiarkan televisyen, merujuk ikrar Trump memastikan jirannya di selatan itu menanggung kos binaan.

Pena Nieto berkata, beliau akan menunggu laporan daripada delegasi peringkat tinggi negaranya di ibu kota AS minggu ini dan akan berunding dengan gabenor dan pembuat dasar sebelum memutuskan 'langkah seterusnya.'

Menteri Luar Luis Videgaray, yang berada di Washington, memberitahu rangkaian Televisa, Pena Nieto akan mempertimbang sama ada untuk berkunjung ke bandar itu namun "mesyuarat adalah penentunya."

Kali terakhir Pena Nieto bertemu Trump, segala-galanya tidak berjalan lancar buat pemimpin Mexico itu. Beliau dikritik hebat di tanah air kerana menjadi hos kepada jutawan hartanah itu ketika pilihan raya walaupun Trump menggelar pendatang Mexico 'perogol' dan pengedar dadah. -AFP

134 dibaca
Berita Harian X