Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:51am

Hubungan Mexico-AS makin 'panas'


PRESIDEN Mexico, Enrique Pena Nieto. - Foto AP

WASHINGTON: Cadangan pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan cukai import terhadap barangan daripada Mexico, menyebabkan hubungan antara kedua-dua negara semakin goyah.

Cadangan itu juga menyebabkan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto bertindak membatalkan pertemuan dengan Trump, yang dijadualkan pada Selasa ini.

Trump mahu menggunakan hasil daripada cukai itu untuk membiayai pembinaan tembok sempadan antara Amerika Syarikat (AS) dan Mexico.

Serangan lisan mengenai siapa yang perlu membayar kos pembinaan tembok itu, yang dijanjikan Trump ketika berkempen, mencapai kemuncak semalam.

"Jika Mexico enggan membayar kos pembinaan tembok yang amat diperlukan itu, lebih baik batalkan pertemuan yang bakal diadakan," katanya dalam Twitter.

Pena Nieto yang menjalin hubungan baik dengan bekas Presiden Barack Obama, tidak mengambil masa lama untuk menyahut cabaran itu.

"Kami sudah memaklumkan Rumah Putih pagi ini bahawa saya tidak akan menghadiri pertemuan dengan dengan Trump di Washington yang dijadualkan Selasa ini.

"Mexico sedia bekerjasama dengan Washington untuk mencapai persetujuan bagi kepentingan kedua-dua negara," kata Pena Nieto dalam kenyataannya di Twitter.

Beberapa jam kemudian, Trump memberitahu anggota perundangan Republikan di Philadelphia bahawa pembatalan dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak.

"Melainkan Mexico melayan Amerika Syarikat dengan adil, dengan hormat, pertemuan itu tidak akan berjaya, dan saya mahu menggunakan jalan berbeza. Saya tiada pilihan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer, berkata 'saluran komunikasi masih terbuka' dan Washington berharap dapat menjadualkan sesuatu pada masa depan.

Namun, kenyataan Spicer bahawa Trump akan mengenakan cukai sebanyak 30 peratus ke atas barangan daripada Mexico menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.

"Dengan itu (mengenakan cukai), kami akan memperoleh AS$10 bilion (RM44 bilion) setahun dan boleh membayar kos pembinaan menerusi mekanisme itu sahaja," kata Spicer.

Semalam, Trump menandatangani arahan eksekutif bagi memulakan kerja membina tembok di sepanjang 3,200 kilometer di sempadan Mexico-AS. - AFP

90 dibaca
Berita Harian X