Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:01am
MOHD Jamil menyediakan nasi dimasak dalam buluh. - Foto Rohanis Shukri
ULAM-ULAMAN dan sambal belacan disediakan di Restoran Tiang Besar. - Foto Rohanis Shukri
IKAN bakar dan air asam.
ULAM yang disertakan dengan sambal belacan.

Menikmati ayam pangsuh di kaki Gunung Kenderung


HIDANGAN nasi buluh, ayam bakar, gulai ikan baung, ikan bakar dan ulam disediakan di Restoran Tiang Besar. - Foto Rohanis Shukri

HIDANGAN nasi dalam buluh, ayam pangsuh, daging masak hitam, gulai kari daging umbut pisang, kerabu umbut bayas cecah air lawa dan banyak lagi, andai diletakkan satu meja memang mampu mengundang nikmat tidak terkata.

Apatah lagi dinikmati di restoran dikelilingi panorama alam menakjubkan berlatar belakangkan gunung, lembah dan sungai seperti dimiliki Restoran Tiang Besar (RTB) di Kampung Tanjung Kala, Gerik, Perak.

Penulis bersama jurufoto, Rohanis Shukri turut larut dengan keindahan Gunung Kenderung dan Gunung Kerunai yang menjadi mercu tanda tempat itu, manakala suapan semakin laju apabila ikan kelah bakar dihidangkan.

Nasi lemang, ayam pangsuh

Menawarkan lebih 10 jenis masakan kampung namun popular dalam kalangan masyarakat setempat adalah nasi lemang dan ayam pangsuh.

Pemiliknya, Mohd Jamil Yusof berkata, selain perlu dimasak dalam buluh, dua sajian itu mengambil masa yang lama iaitu dua jam untuk disediakan,.


HIDANGAN nasi buluh, ayam bakar. - Foto Rohanis Shukri

AYAM dimasak dalam buluh.

"Nasi lemang dibalut dengan daun lirik sebelum dibakar. Resipi ayam pangsuh pula menggabungkan daun pucuk ubi, daun sup iban, pucuk paku, bawang, serai dan halia.

"Selepas bahan-bahan itu digaul sebati, ia diperap selama 15 minit sebelum dimasukkan dalam buluh dan dibakar selama dua jam," katanya.

Restoran ini turut menjadi tumpuan penggemar daging masak hitam yang dimasak mengikut resipi asli masakan kampung.

Ikan Tasik Banding

Menu ikan bakar menyajikan kesegaran ikan sungai daripada spesis tenggalan, tengas, siakap, kerapu, kelah dan sebagainya yang lazimnya dicicah bersama air asam.

Mohd Jamil berkata, harga hidangan bergantung kepada berat dan spesies ikan namun kelah antara yang mahal iaitu menawarkan harga tidak kurang RM100 bagi sekilogram.

"Air lawa antara menu tradisi popular menawarkan rasa lemak manis menerusi ramuan santan, daun kesum, serai, cabai kecil yang dikisar hingga halus. Selepas itu, dimasukkan pula kerisik bagi memberikan rasa lemak dan enak," katanya.


MOHD Jamil menyediakan nasi dimasak dalam buluh di Kampung Tanjung Kala. - Foto Rohanis Shukri

INFO
Restoran Tiang Besar

Lokasi: Kampung Tanjung Kala, Gerik, Perak

Waktu Operasi: 11 pagi hingga 3 petang

Menu Popular:

* Nasi dalam buluh

* Ayam pangsuh

* Daging masak hitam

* Gulai kari daging kambing bersama umbut pisang.

FAKTA

* RM100 - Sekilogram ikan kelah sungai

* 2 jam - Tempoh menyediakan nasi dalam buluh.

481 dibaca
Berita Harian X