;
Sabtu, 28 Januari 2017 | 12:05am

Kaka-Rody Kristal belum bertunang

BERITA penangguhan majlis pertunangan membabitkan dua selebriti, Kaka Azraff dan Rody, yang juga pemain gitar kumpulan Kristal, benar-benar mengejutkan peminat dunia hiburan tanah air. Pelbagai persoalan timbul rentetan berita terbabit, antaranya sejak bila pula pasangan ini menjalinkan hubungan cinta?

Andai disorot kembali kisah percintaan Kaka sebelum ini, nama Rody langsung tidak termasuk dalam senarai. Malah, setiap lelaki yang dikaitkan dengannya, termasuk dakwaan cubaan merampas kekasih seorang pelakon, berjaya ditepis penyanyi wanita itu. Malah, beliau menyifatkannya sebagai gosip semata-mata.

Adakah disebabkan tidak mahu lagi timbul sebarang kontroversi ataupun bimbang hajat tidak kesampaian membuatkan Kaka dan Rody lebih selesa bercinta dan merancang pertunangan dalam diam.

Bertemu dengan si pendendang lagu Bukan Hal Aku ini dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini, soalan cepumas itulah yang diajukan padanya.

Walaupun sudah menafikan wujudnya sebarang pertunangan yang berlangsung antara dirinya dengan jejaka berkenaan, namun ramai yang inginkan kepastian apakah ada sesuatu di antara mereka berdua? Sementelah masing-masing masih solo, rasanya tidak salah jika kedua-duanya menyulam benang cinta.


KAKA kenal Rody sejak tujuh lalu dan semakin rapat apabila terbabit dalam program Duo Star.


KAKA mengaku kini beralih kepada fasa mengenali hati budi selain melihat sejauh manakah keserasiannya bersama Rody. - Foto Khairunisah Lokman

Menjawab pertanyaan itu, Kaka mengaku istilah kawan yang terjalin sejak tujuh tahun lalu itu kini beralih kepada fasa mengenali hati budi selain melihat sejauh manakah keserasian mereka.

"Kaka kenal Rody sejak tujuh lalu dan kami semakin rapat apabila terbabit dalam program Duo Star. Cuma, masih terlalu awal untuk mengatakan kami bercinta.

"Sepanjang berkawan, memang tiada langsung kami bercakap soal hati dan perasaan. Apa yang boleh Kaka katakan, kami masih dalam peringkat mengenali hati budi dan dan tengoklah dulu sejauh mana keserasian yang wujud antara kami.

"Kaka minat untuk berkawan dengannya kerana dia seorang yang jujur dan ikhlas, tanpa ada maksud lain," ujar pemilik nama penuh Nor Atiqa Noor Azraff ini kepada BH.

Mengulas lanjut isu pertunangan yang memang tidak pernah berlaku, Kaka berkata, perkara itu timbul disebabkan salah faham.


KAKA belum bersedia untuk memberikan sebarang komitmen. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Cerita kononnya majlis pertunangan kami yang terpaksa ditangguhkan itu tidak benar sama sekali. Perkara itu timbul apabila ada saudara-mara yang terlalu teruja kerana kami berdua berkawan. Macam mana nak bertunang kalau kami sendiri pun belum bertemu keluarga masing-masing?

"Cuma keluarga Kaka ada juga bertanyakan perkara itu kerana mereka tahu yang Kaka tidak mempunyai ramai kawan lelaki. Justeru, apabila cerita terbabit timbul, mereka nak juga tahu hal sebenar. Mereka tak marah atau terkejut pun, sebaliknya menganggap ia sebagai gosip saja," ujar gadis manja berusia 28 tahun ini.

Ujar anak saudara Ratu Rock, Ella ini, beliau sendiri belum bersedia untuk memberikan sebarang komitmen, apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri kerana fokusnya ketika ini hanyalah pada karier seninya yang semakin berkembang.

"Berikutan terlalu lama bersendirian, Kaka sendiri tidak pasti sama ada sudah bersedia ataupun tidak. Apa yang Kaka tahu, selepas program Duo Star tamat, ada banyak projek menanti termasuk lagu duet Kaka dengan Awi (Rafael) berjudul Ada Jalannya. Kaka juga akan muncul dengan single solo yang akan diterbitkan oleh Alif Sleeq. Lagu dan lirik pula hasil ciptaan Good Fellas.

"Kaka juga akan mengembangkan lagi karier lakonan, malah baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Kesempatan Kedua untuk slot Cerekarama. Inilah telefilem pertama Kaka dan diakui ia sangat mencabar kerana Kaka kena menangis. Bagi menghayati watak itu, Kaka terpaksa bayangkan kisah lalu," ujarnya sambil tertawa.


PENYANYI, Azraff atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff. - Foto Adi Safri

Bercerita mengenai pengalamannya menyertai program realiti Duo Star pula, terkedu juga apabila Kaka memberitahu, menyanyi ialah cabaran terbesar buatnya.

"Bukan nak kata Kaka tak boleh menyanyi, cuma sebelum ini Kaka berduet dengan artis rap. Kali ini kena berduet dengan penyanyi, jadi cara nyanyiannya berbeza," terangnya.

INFO

Nama sebenar: Nor Atiqa Noor Azraff

Nama komersial: Kaka Azraff

Umur: 28 tahun

Kerjaya: Penyanyi, Pelakon

Lagu: Terpulanglah, Infiniti Cinta, Bawaku Pergi, Terima Kasih dan Bukan Hal Aku.

1062 dibaca
KAKA dan Awie Rafael berpasangan dalam program Duo Star. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PEMAIN gitar kumpulan Kristal, Rody.
Berita Harian X