Isnin, 30 Januari 2017 | 7:11pm

Nora kembang sayap lakonan ke Indonesia


Nora Danish. Foto NSTP/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Mengaku dirinya peminat filem bercorak Islamik dari Indonesia, justeru Nora Danish tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan membintangi naskhah berjudul Syurga Yang Tak Dirindukan 2 oleh produksi negara berkenaan.

Filem yang dijangka menemui penonton negara ini pada Februari itu membariskan bintang seperti Laudya Cynthia Bella, Raline Shah, Fedi Nuril, Reza Rahadian dan Kemal Palevi.

Diusik pertanyaan apakah beliau menerima undangan berkenaan berikutan ia dibarisi artis ternama negara terbabit, ibu kepada Putera Rayqal itu tidak menafikannya.

"Antara sebab saya menerima tawaran berlakon filem ini memang disebabkan nama pelakon yang terbabit di dalamnya.

"Saya sendiri mengikuti kehebatan filem Islamik dari sana, termasuk Ayat Ayat Cinta yang dilakonkan Fedi. Reza pula memang bukan calang-calang pelakon. Selain itu, saya juga dapat menimba pengalaman dengan melihat cara pelakon sebelah sana bekerja," kata Nora yang memegang watak sebagai pengurus kepada Laudya.

Paling penting, kata Nora, kerjasama berkenaan membuka laluannya untuk bertapak dalam industri lakonan di Indonesia.

Menyentuh pengalamannya bekerja di bawah produksi milik Manoj Punjabi itu, Nora berkata, tidak banyak perbezaan disaksikannya sepanjang 20 hari dirinya terbabit dalam penggambaran filem berkenaan.

"Perbezaannya cuma dari segi pembacaan skrip apabila sesi berkenaan memakan masa lebih lama, di sana. Bagi sesi itu saja, ia mengambil masa kira-kira lima minggu juga.

"Apa pun, saya melihat ruang ini sebagai langkah pertama untuk melebarkan sayap seni ke negara jiran. Alhamdulillah, mereka juga amat mengalu-alukan kehadiran saya," katanya yang menjalani penggambaran selama 10 hari di negara itu dan 10 hari lagi di Budapest, Hungary.

Ketika ini, Nora masih melunaskan baki penggambaran filem Cinta Bukan Malaikat, bergandingan dengan Ashraf Muslim.

Filem terbabit turut dirakam di beberapa negara termasuk Arab Saudi dan Indonesia.

846 dibaca
Berita Harian X