;
Selasa, 31 Januari 2017 | 1:03am

Mexico gesa Israel mohon maaf sokong bina tembok


MENTERI Luar Mexico, Luis Videgaray. - Foto REUTERS

MEXICO CITY: Menteri Luar Mexico, Luis Videgaray menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon maaf kerana menyokong rancangan Presiden Donald Trump membina tembok sempadan.

"Kami menjangka (untuk menerima) satu penjelasan, pembetulan. Saya fikir permohonan maaf adalah sesuatu yang wajar dalam kes ini," kata Videgaray kepada rangkaian Televisa.

Videgaray berkata, Mexico menolak kenyataan Netanyahu dan berharap kerajaan Israel memperbetulkan pendiriannya.

Mexico dan Israel saling berbalah hujung minggu selepas Netanyahu melahirkan sokongannya di Twitter.

"Presiden Trump betul. Saya membina tembok di sepanjang sempadan selatan Israel. Ia menghalang semua penghijrahan haram. Kejayaan besar. Idea hebat," tweet Netanyahu.

Beberapa jam kemudian, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon menjelaskan di Twitter bahawa Netanyahu merujuk kepada pengalaman mengenai aspek keselamatan.

"Kami tidak memberi pendapat berhubung kedudukan hubungan AS-Mexico," katanya. - AFP

124 dibaca
Berita Harian X