Rabu, 1 Februari 2017 | 12:42pm

Apple catat rekod baharu prestasi suku pertama


BARISAN tenaga kuat AppsMe bersama selebriti yang hadir pada majlis pelancaran.

SAN FRANCISCO: Apple pada Selasa melaporkan pemulihan dalam jualan iPhone membantu membolehkan syarikat teknologi itu mencatat rekod baharu pendapatan pada suku pertama.

Laporan itu sudah tentunya meredakan kebimbangan pelabur berhubung pertumbuhan syarikat itu yang dikatakan semakin perlahan.

Mengikut Apple, bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2016, permintaan bagi model iPhone 7 yang dilancarkan tahun lalu mengatasi bekalan.

Apple menjual 78.3 juta iPhone, yang terbanyak dalam sejarah bagi tempoh tiga bulan yang dikaji, dan ia adalah peningkatan lima peratus berbanding musim jualan sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh yang dikaji, pendapatan meningkat kepada rekod baharu AS$78.4 bilion (RM347.2 bilion) berbanding AS$75.9 bilion (RM336 bilion) yang dicatatkan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, untung syarikat itu merosot 2.6 peratus kepada AS$17.9 bilion (RM79.29 bilion).

Saham Apple meningkat hampir tiga peratus kepada AS$124.80 seunit (RM552.80) pada dagangan selepas pasaran diikuti oleh pengumuman keputusan kewangan.

Jualan tinggi iPhone menjadikan Apple muncul sebagai pengeluar telefon pintar utama dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu mengatasi Samsung, menurut penganalisis industri. - AFP

111 dibaca
Berita Harian X