Khamis, 2 Februari 2017 | 11:01am

Jamilah calon terbaik - PM


JAMILAH turut membantu berkempen di Batu Kawa, Kuching pada Pilihan Raya Negeri ke-11 yang lalu. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Puan Sri Jamilah Anu adalah calon terbaik untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat tempatan serta legasi, kerja dan visi bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Dalam entri terbaru akaun Facebook miliknya, Perdana Menteri berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu bersedia dan memastikan kerusi kekal milik BN tanpa mengira sama ada pembangkang bertanding atau tidak.

"Saya yakin Jamilah adalah calon terbaik untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat tempatan serta legasi, kerja dan visi Adenan. Sama ada pembangkang bertanding atau tidak, jentera BN mesti bersedia. Pastikan kerusi kekal milik BN," katanya.

Semalam, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengumumkan Jamilah, 62, yang juga balu Allahyarham Adenan, dipilih sebagai calon BN bagi PRK DUN Tanjong Datu pada 18 Februari ini.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian Adenan yang lebih dikenali sebagai Tok Nan, di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu, empat hari selepas dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan untuk pemeriksaan rutin.

Tok Nan `berhijrah' dari DUN Muara Tuang ke DUN Tanjong Datu susulan proses persempadanan semula pada Pilihan Raya Negeri kesembilan (PRN-9), selain didorong iltizam kuatnya bagi membawa pembangunan ke kawasan luar bandar itu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga kubu kuat BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

47 dibaca
Berita Harian X