Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:01am

Nora Danish pasang niat hendak bertudung

SELEPAS mengukuhkan kedudukan mereka dalam dunia hiburan tanah air, dua pelakon cantik, Nora Danish dan Elfira Loy, tidak ketinggalan menggunakan populariti yang dimiliki bagi menceburkan diri ke bidang perniagaan.

Apatah lagi masing-masing mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial. Andai Instagram Nora diikuti oleh kira-kira lima juta peminat, Elfira pula memiliki hampir tiga juta pengikut. Justeru, dengan kekuatan yang dimiliki dari segi jumlah pengikut di laman sosial, ia sudah tentu memudahkan kedua-duanya mempromosikan bisnes mereka.

Dua artis ini mempunyai koleksi pakaian mereka sendiri, dengan Nora, 35, mengusahakan Owl By Nora Danish, manakala Elfira, 23, pula memperkenalkan jenama El By Elfira Loy. Selain itu, pelakon berkening tebal itu juga mengusahakan perniagaan kafe dan beberapa perniagaan lain.

Biarpun masing-masing memiliki jenama fesyen Muslimah, namun buat waktu ini Nora belum mengenakan imej bertudung seperti rakan seperjuangannya itu.


PELAKON, Nora Danish pada pelancaran laman portal membeli belah Haqqi di Hotel Grand Hyatt. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

PELAKON, Nora Danish (kiri) dan Elfira Loy pada pelancaran laman portal membeli belah Haqqi di Hotel Grand Hyatt. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

"Seperti Elfira yang sudah pun berhijab, saya juga memasang niat ke arah itu (bertudung), insya-Allah. Cuma, saya tak mahu menggembar-gemburkan perkara yang kurang pasti. Doakan saja yang baik-baik.

"Saya percaya, semua orang mahu berhijrah ke arah menjadi insan lebih baik. Saya sendiri tidak terburu-buru dalam hal ini. Saya tidak mahu nanti, selepas mengenakan tudung, saya kembali dengan imej tidak menutup kepala.

"Sama juga dengan soal kahwin, belum ada sebarang kepastian ketika ini mengenai hal terbabit. Namun, saya berharap ia akan tetap dapat dilangsungkan pada tahun ini. Cuma, saya tidak mahu memaklumkan tarikhnya kerana bimbang ia tidak menjadi kenyataan.

"Kalau berkahwin nanti, saya hanya mahu majlis akad nikah yang diadakan di rumah secara kecil-kecilan. Kalau boleh, kali ini saya tidak mahu bertunang pun, wang hantaran juga takkan ada. Cukup buat yang wajib, iaitu nikah saja," katanya kepada BH ketika menghadiri majlis pelancaran portal beli-belah Haqqi di ibu kota, baru-baru ini.


PELAKON, Nora Danish pada pelancaran laman portal membeli belah Haqqi di Hotel Grand Hyatt. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, kebelakangan ini Nora sering menerima tawaran berlakon filem yang bercorak Islamik. Ketika ini beliau sedang melunaskan penggambaran filem Cinta Bukan Malaikat, bergandingan dengan Ashraf Muslim. Filem itu dirakamkan di Makkah, Madinah dan Bandung.

"Sebelum itu, saya turut membintangi filem pertama saya di Indonesia iaitu Syurga Yang Tak Dirindukan 2. Penggambarannya diadakan selama 10 hari di Indonesia dan 10 hari di Budapest, Hungary. Ia akan ditayangkan pada bulan ini juga.

"Peluang berlakon dalam filem bergenre sedemikian menjadi ruang untuk saya lebih mendekatkan diri dengan apa saja yang bersifat baik. Malah, dapat juga berdakwah dengan cara seni sebegini," katanya yang baru-baru ini muncul dengan single duet bersama Waris berjudul Boom.

Sementara itu, Elfira juga percaya dunia fesyen mampu menjadi ruang untuknya berdakwah. Apatah lagi pada tahun ini beliau lebih serius dalam melebarkan empayar fesyen Muslimah.

Menurutnya, dengan permintaan yang semakin meningkat di kalangan remaja sepertinya, justeru beliau berasakan sudah tiba masa untuk perniagaan itu diperbesarkan.


PELAKON, Nora Danish (kiri) dan Elfira Loy pada pelancaran laman portal membeli belah Haqqi di Hotel Grand Hyatt. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

"Selama ini pun saya pakai baju yang dijahit sendiri. Maklumlah, baju saya bersaiz kecil, yang susah nak dicari di kedai. Apabila diri ini berhijab pula, saya juga rasa lebih mudah untuk menyuai padan baju dengan tudung.

"Berikutan saya masih remaja, maka harga yang dijual juga sangat mampu milik. Bertudung juga bukanlah penghalang untuk berfesyen. Menjadi amanah dan tanggungjawab saya untuk berfesyen dengan cara betul dan sedap mata memandang sebagai wanita Islam," katanya yang mengeluarkan hampir 200 koleksi pakaian untuk dijual di butik Haqqi di Shah Alam.

Mengenai sisi peribadi, Elfira mengaku belum mempunyai kekasih seperti teman seperjuangannya itu. Beliau begitupun berkata, pada saat ini dirinya sudah bersedia untuk bercinta dan berumah tangga.

"Saya memang jenis yang kuat bekerja dan kejar duit. Ada yang cakap, lelaki tercabar dengan sikap saya itu. Saya sendiri tidak menafikan perkara itu. Tetapi, cinta juga takkan datang kalau saya duduk saja di rumah, jadi lebih baik saya bekerja. Dengan cara itu saya manfaatkan ruang dan masa yang ada sebaik mungkin.

"Kalau ada lelaki yang betul-betul serius inginkan saya, mereka boleh terus masuk meminang. Saya pun bukannya gadis yang suka bercinta bagai nak rak. Seperti gadis lain yang sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya dalam kehidupan, begitu jugalah saya. Lagipun, saya bukan makin muda, sekalipun badan tetap kecil molek," katanya.

767 dibaca
PELAKON, Nora Danish pada pelancaran laman portal membeli belah Haqqi di Hotel Grand Hyatt. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X