Selasa, 7 Februari 2017 | 2:43pm

PTPTN keluarkan tuntutan perlindungan takaful RM709,840


PENGERUSI PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (kanan) menyerahkan Manfaat Pelindungan Takaful dan Khairat Kematian Penabungan SSPN-i Plus dan SSPN-i kepada Mohammad Ilyas Nasir pewaris kepada Allahyarham Nasir Ali, 55, sambil diperhatikan oleh Pengurus Besar negeri, Pejabat PTPTN, Azizah Nasik (kiri), Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik, Abdul Ghaffar Yusop (dua kiri) dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Hong Leong MSIG Takaful, Yassir Azlin (tiga dari kiri) di Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful SSPN-i PLUS & SSPN-i di UTC Terengganu, Paya Bunga Square, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan tuntutan perlindungan insurans takaful di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) sebanyak RM709,840 kepada 65 penyimpan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga Januari lalu, PTPTN menerima sebanyak 65 tuntutan perlindungan insurans takaful daripada waris pendeposit.

Katanya, sejak SSPN-i Plus dilancarkan Jun 2015 lalu, sebanyak 52,615 akaun skim itu dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM19.9 juta dan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM2.3 bilion.

"Di bawah produk SSPN-i Plus, PTPTN menawarkan enam pakej simpanan yang bermula daripada RM30 sehingga RM500 sebulan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful kepada Mohammad Ilyas Nasir di Anjung Cakna Komuniti di Paya Bunga Square, di sini, tengah hari tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik, Abdul Ghaffar Yusop, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Hong Leong MISG Takaful, Yassir Azlin Abdul Ghafar dan Pengurus Besar PTPTN negeri, Azizah Nasik.

Mohammad Ilyas adalah anak kepada bekas pegawai Petronas, Nasir Ali yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu.

Sebelum meninggal dunia, Nasir membuka akaun SSPN-i Plus di bawah pakej berlian dengan simpanan sebanyak RM500 sebulan untuk anaknya pada Jun 2015.

Dr Shamsul Anuar berkata, melalui penabungan itu, Nasir dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful kematian biasa sebanyak RM500,000 selain khairat kematian berjumlah RM18,000 dan nilai simpanan takaful berjumlah RM1,345.51.

"Jumlah keseluruhan manfaat takaful dan khairat kematian serta nilai tunai yang diterima waris Nasir adalah sebanyak RM519,345.51," katanya.

182 dibaca
Berita Harian X