Selasa, 7 Februari 2017 | 4:29pm

Syor caj masuk ke Pulau Besar


DATUK Ghazale Muhamad. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Kerajaan Melaka bercadang untuk mengenakan bayaran kepada pengunjung yang ingin memasuki ke Pulau Besar, di sini.

Timbalan EXCO Pelancongan, Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad, berkata bayaran dikenakan di bawah caj warisan pelancongan itu akan digunakan untuk kerja baikpulih di pulau yang berkeluasan 129 hektar itu.

Katanya, hasil lawatan ke pulau itu mendapati banyak berlaku kerosakan membabitkan kemudahan awam, sekali gus menjejaskan keselesaan pengunjung.

"Dalam lawatan ini kita dapati penghadang jeti sudah berkarat dan patah, selain struktur jalan dalam pulau yang rosak teruk serta tahap kebersihan yang masih tidak memuaskan.

"Sehubungan itu, kita mencadangkan caj warisan pelancongan dikenakan ke atas pengunjung yang datang ke sini (Pulau Besar) dan kertas kerja mengenainya (caj warisan) akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke pulau itu bersama wakil daripada 12 agensi berkaitan, di sini, hari ini.

Antara agensi berkenaan, termasuk Bahagian Promosi Pelancongan, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM).

Sementara itu, Ghazale berkata, pada masa sama pihaknya turut menemui penempatan sementara yang dibina dan diceroboh individu tidak bertanggungjawab.

"Kewujudan lebih 20 penempatan ini dikhuatiri membuatkan keselamatan pelancong yang datang ke sini tidak terjamin.

"Sehubungan itu, tiga pemilik tanah pulau iaitu Syarikat Pembangunan Pulau Bertuah Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) perlu berbincang untuk memikirkan langkah memelihara kawasan sekitar pulau ini," katanya.

307 dibaca
Berita Harian X