Selasa, 14 Februari 2017 | 12:12am

Menara berkembar Petronas sumber inspirasi Rizman


KIRAN memperagakan baju ilham pereka Rizman Ruzaini pada majlis pratonton pakaian Miss Universe Malaysia 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

REKAAN kostum Rizman Ruzaini ke pentas dunia pertandingan Miss Universe Malaysia 2017 yang mengambil inspirasi replika menara kembar Petronas, baru-baru ini menjadi viral disebabkan rekaan yang berbeza daripada busana biasa.

Selain kejelitaan dan kepintaran wanita, fesyen busana antara yang diketengahkan untuk mempamerkan keunikan kostum dengan replika bangunan menara berkembar Petronas menggunakan batu permata sebagai perincian pada baju terbabit.

Busana itu digayakan oleh Miss Universe Malaysia 2016, Kiran Jassal itu menariknya adalah menggambarkan kaitannya dengan identiti negara.

Jika dilihat pemakaian kostum yang ada elemen berkaitan identiti sesebuah negara mampu menarik perhatian juri.

Contohnya, tahun lalu, ratu cantik dari Thailand, Aniporn Chalermburanawong, memenangi pakaian terbaik apabila menggayakan kostum menggunakan ispirasi kenderaan awam negara itu iaitu Tuk Tuk.

Di sini kreativiti pereka fesyen menyerlah khususnya untuk mempromosikan negara dalam bentuk fesyen.

Kepelbagaian idea dengan suntikan warna terang dan penggunaan pelbagai material dilihat menghidupkan acara gemilang itu.


GAUN petang antara busana yang akan dipakai Kiran pada pertandingan Miss Universe 2017 di Manila. - Foto Amirudin Sahib

Jangka jadi viral

Bagi Rizman Nordin, beliau bagaikan sudah menjangkakan kostum rekaannya itu menjadi viral, sebaliknya bersikap positif dan mengharapkan tuah kemenangan.

"Sebelum kostum ini direka, kami menjalankan kajian dan mencari sesuatu yang boleh dijadikan sesuatu yang ikonik.

"Paling penting melihat pakaian itu ia mengingatkan mengenai negara ini. Jadi tentunya ramai yang akan mengaitkan menara berkembar Kuala Lumpur dengan Malaysia.

"Cetusan idea itu memberi idea dalam rekaan. Setiap perincian pada bangunan diterjemahkan pada kostum ini," katanya.

Kostum terbabit adalah potongan jumpsuit kemasan perak dihiasi batu kristal Swarovski.

Ia dikatakan memberi gambaran terhadap tingkap dan gelas pada menara berkembar itu.

INFO

  • Label gabungan bakat kreatif dua pereka muda, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.
  • Kedua-duanya berkelulusan Sarjana Muda Rekaan Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
  • Kali pertama menghasilkan koleksi untuk pertandingan ratu cantik.
174 dibaca
Berita Harian X