Selasa, 14 Februari 2017 | 8:23pm

Malaysia mudah benam Sri Lanka di Vietnam

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, pasukan badminton negara meraih kemenangan mudah 5-0 menewaskan Sri Lanka pada perlawanan pembukaan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.

Pada saingan peringkat Kumpulan B di Kelab Sukan Nguyen Du Cultural, Malaysia memperoleh mata pertama melalui pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven yang menewaskan Niluka Karunaratne 21-8, 21-17.

Pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying menggandakan mata buat negara apabila menundukkan Thilini Pramodika Hendahewa 21-19, 21-11, sebelum beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencatat kemenangan selesa 21-18, 22-20.

Beregu wanita dan beregu campuran, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, masing-masing memastikan kedudukan 5-0 selepas itu.

Lim-Yap menewaskan Thilini Pramodika Hendahewa-Kavindi Ishandika Sirimannage 21-11, 21-15, manakala Goh-Shevon menundukkan Renu Chandrika Hettiarachchige-Dinuka Karunaratna 21-12, 21-10.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan peringkat Kumpulan B bertemu Indonesia pada Khamis ini, untuk mengesahkan tempat ke suku akhir. - BERNAMA

63 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »