Khamis, 16 Februari 2017 | 2:05pm

Myanmar dakwa 'operasi' di Rakhine tamat


TENTERA Myanmar mendakwa sudah menamatkan operasi 'pembersihan' di Rakhine kira-kira empat bulan lalu.

YANGON: Tentera Myanmar mendakwa sudah menamatkan operasi 'pembersihan' di Rakhine kira-kira empat bulan lalu, kata pegawai kerajaan, sekali gus mengakhiri tindakan yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik.

Operasi dijalankan berikutan insiden sembilan anggota polis terbunuh di pos keselamatan berhampiran sempadan Bangladesh, 9 Oktober tahun lalu.

Menurut perangkaan PBB, hampir 69,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak operasi bermula.

Keganasan itu memperbaharui kritikan antarabangsa ke atas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, kerana tidak menyalurkan bantuan kepada etnik minoriti Muslim terbabit.

Kerajaan Myanmar yang diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu menafikan semua tuduhan salah laku hak asasi manusia di Rakhine.

Ia termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol beramai-ramai ke atas Muslim Rohingya, malah menyifatkan operasi menentang pemberontakan terbabit sah dari segi undang-undang. - Reuters

872 dibaca
Berita Harian X