Sabtu, 18 Februari 2017 | 8:59am

Ribut kencang, hujan lebat landa California


RIBUT Pasifik membawa hujan lebat membadai selatan dan tengah California semalam. - Foto www.mercedsunstar.com

LOS ANGELES: Ribut Pasifik membawa hujan lebat membadai selatan dan tengah California semalam, menyebabkan seorang cedera dan beberapa penerbangan terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Angin kuat juga memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk di kawasan berhampiran sungai kerana dikhuatiri berlaku tanah runtuh.

Ia juga menyebabkan pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus hingga mengganggu perjalanan dan aktiviti luar.

Pasukan bomba menggunakan tali dan bot getah untuk menyelamatkan tujuh penduduk dan dua ekor anjing dari lembangan Supulveda, kawasan rekreasi dan kawalan banjir di sepanjang sungai Los Angeles. Seorang mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital.

"Sangat teruk. Ia membawa hujan lebat. Angin sangat kuat," kata Penasihat Akademik Universiti California, Santa Barbara, Robin Johnson.

Pesara, Phonenix Hocking menerusi laman Facebook dari Carpinteria berkata: "Pada satu ketika angin begitu kuat dan saya terkejut ia tidak memecahkan tingkap. Air mula bertakung di laman rumah saya".

Pada masa sama, tanah runtuh dan banjir menutup sebahagian daripada Lebuh Raya Pacific Coast dekat kawasan pantai.

Ribut yang melanda selatan California itu turut membawa hujan ke Lembah San Joaquin di utara hingga ke San Francisco. Ia juga tidak dijangka membawa hujan lebat ke utara menyebabkan kerosakan empangan Lake Oroville hingga memaksa pemindahan 188,000 penduduk hujung minggu lalu. - AP

268 dibaca
Berita Harian X