Ahad, 19 Februari 2017 | 2:01pm
WANY Hasrita. - Foto Aziah Azmee

Wany Hasrita besar hati disamakan dengan Siti Nordiana

KUALA LUMPUR: Bakat baharu arena muzik, Wany Hasrita, berbesar hati apabila sebahagian peminat membandingkan suaranya dengan penyanyi, Siti Nordiana.

Mengakui membesar dengan lagu nyanyian penyanyi yang lebih mesra disapa Nana itu, Wany atau penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 24, bagaimanapun berkata dirinya terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan artis terbabit.

"Saya berbesar hati kerana dikatakan mempunyai suara seakan-akan sama dengan Siti Nordiana. Begitupun saya berasa amat kerdil jika dibandingkan dengan dirinya. Apatah lagi saya sendiri mendengar lagu nyanyiannya ketika sedang membesar dulu.

"Lagipun perjalanan seni saya baru saja bermula, sedangkan Siti Nordiana ialah nama yang cukup besar dalam industri ini.

"Pada saya, tanggapan sedemikian hanyalah pendapat masing-masing. Sebagai bakat baharu dalam industri seni, tentu sekali saya ingin mencari identiti sendiri," katanya.

Ketika ini, Wany yang bernaung di bawah label FMC Music cukup popular dengan lagu berjudul Menahan Rindu, ciptaan Ibnu dan Gouffran. Ia single solo pertama penyanyi ini selepas muncul dengan lagu duet, Memori Berkasih, bersama penyanyi Korea, Kim Dong Gyun.

Memori Berkasih pernah dipopularkan pasangan Achik Spin dan Siti Nordiana pada 2001.

Sejak dimuat naik ke laman YouTube pada penghujung tahun lalu, video rasmi Menahan Rindu sehingga kini sudah pun ditonton lebih 2 juta kali. Ia meletakkan nama Wany Hasrita antara bintang baharu yang semakin mencipta sensasi di media sosial, seperti Aiman Tino, Irfan Haris dan Tajul.

"Saya anggap penerimaan peminat terhadap kehadiran saya dan beberapa rakan lain adalah rezeki kami. Namun, saya tidak boleh berbangga diri kerana saya sendiri masih baharu dalam bidang ini. Banyak lagi yang perlu dipelajari mengenai bidang nyanyian untuk memperbaiki diri.

"Jadi saya harus mengambil inisiatif meningkatkan mutu dan teknik nyanyian. Sebab itu dalam masa terdekat ini, saya merancang untuk menghadiri kelas vokal dan persembahan bagi memantapkan lagu ilmu nyanyian," katanya.

331 dibaca
Berita Harian X