Ahad, 19 Februari 2017 | 6:36pm

Kemenangan BN Tanjong Datu bukan ukuran PRU-14


BN MENANG... Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN) Puan Sri Jamilah Anu bersama pucuk pimpinan BN selepas berjaya mempertahankan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bukan boleh dijadikan 'ukuran mutlak' untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Kebanyakan isu yang dijaja, sama ada oleh BN atau dua calon parti pembangkang, lebih banyak bertumpu kepada isu setempat seperti isu hak tanah adat Bumiputera, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

Jarang atau tiada langsung isu nasional kedengaran, apatah lagi isu hangat sekarang membabitkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), 1965 (Akta 355) yang dilihat sesetengah pihak ke arah pelaksanaan hukum Hudud.

Malah isu ini kurang kedengaran di Sarawak secara keseluruhannya, meskipun anak Sarawak adalah orang pertama membentangkan Akta 355 untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 3 Mac 1965, iaitu Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang ketika itu adalah Menteri Tanah dan Galian seperti tercatat di dalam hansard.

Tanjong Datu adalah kawasan luar bandar/pedalaman dan isunya lebih tertumpu kepada pembangunan serta keperluan asas. Malah, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak kedengaran di Tanjong Datu.

Calon yang menentang BN pula adalah parti pembangkang tempatan - Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.

Pendek kata, PRK ini lebih kepada 'hal ehwal Sarawak' tanpa pembabitan parti dari Semenanjung seperti PKR, PAS, DAP dan Parti Amanah Negara yang juga kalah teruk pada pilihan raya negeri, Mei tahun lalu.

Namun, dua pilihan raya kecil pada Jun tahun lalu - Kuala Kangsar (Perak) dan Sungai Besar (Selangor) yang menyaksikan BN menang besar boleh dijadikan ukuran awal untuk PRU-14.

Apa pun, satu mesej yang jelas daripada PRK Tanjong Datu, lokasi bermulanya projek Pan Borneo di bahagian Selatan Bumi Kenyalang, ialah BN masih mencengkam kuat di Sarawak dan tidak mudah dijinak oleh parti pembangkang.

Malah, pada pilihan raya negeri tahun lalu, hanya DAP dan PKR yang menang dan itupun DAP cuma menang tujuh berbanding 31 kerusi dipertandingkan, berbanding menang 12 kerusi sebelum itu, manakala tiga lagi kerusi dimenangi PKR.

PAS bertanding 11 kerusi dan Parti Amanah Negara di 13 kerusi - semuanya tewas. Ini bermakna, jika pembangkang mahu menguasai Putrajaya pada PRU-14 nanti, ia perlu 'menembusi' 47 kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah, andainya kerusi BN/pembangkang masih bersaing pada tahap 50-50 di Semenanjung.

Ujian awal menyaksikan DAP, PAS, Parti Amanah Negara dan PKR takut imej tercalar apabila enggan bertanding di PRK Tanjong Datu, kerana mereka mengintai kerusi lain di Sarawak. Tahniah, Kak Milah!

195 dibaca
Berita Harian X