Selasa, 21 Februari 2017 | 4:22pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Alor Gajah menyebur air serta mengarahkan pelajar menukar pakaian dan seragam mereka untuk dilupuskan berikutan tumpahan merkuri dari termometer dalam makmal Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SPBI) Selandar, Jasin. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

12 pelajar dikuarantin akibat tumpahan raksa

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Alor Gajah menyebur air serta mengarahkan pelajar menukar pakaian dan seragam mereka untuk dilupuskan berikutan tumpahan merkuri dari termometer dalam makmal Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SPBI) Selandar, Jasin. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

JASIN: Seramai 12 daripada 24 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar di sini, terpaksa dikuarantin selepas berlaku tumpahan cecair raksa di makmal sekolah itu, pagi tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi ketika kumpulan pelajar terbabit sedang melakukan uji kaji menggunakan termometer.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini berlaku.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Kanan Bomba II, Suhairi Mohd Sufian, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.36 pagi, sebelum lapan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, sejurus tiba anggota bomba terus melakukan kerja pembersihan serta nyah cemar terhadap pelajar yang terbabit.

"Kerja pembersihan dilakukan bagi memastikan tiada sisa raksa di kawasan sekitar dan semua pelajar, termasuk guru disahkan tidak terkena tumpahan bahan kimia itu.

"Bagaimanapun, sembilan pelajar lelaki dan tiga perempuan yang didapati berada berhampiran lokasi tumpahan dikuarantin lebih setengah jam untuk menjalani proses nyah cemar di kawasan lapang sekolah, sebelum operasi berakhir pada jam 10.38 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Baharudin Husin, berkata semua pelajar yang dikuarantin itu dibersihkan anggota HAZMAT menggunakan air dari jentera bomba.

"Semua pakaian mereka kemudian dikumpul dan dilupuskan oleh anggota bomba. Bomba turut mengarahkan pihak sekolah supaya menutup makmal berkenaan untuk tempoh sehari bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini," katanya.

1200 dibaca
Berita Harian X