Jumaat, 24 Februari 2017 | 12:29pm

Samsung Pay kini di Malaysia


SEORANG pengguna menggunakan Samsung Pay selepas pelancarannya di Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics melancarkan perkhidmatan mudah alih tanpa sentuh, Samsung Pay ke pasaran Malaysia, sebentar tadi.

Perkhidmatan Samsung Pay ini membolehkan pembelian dilakukan secara mudah dan selamat.

Naib Presiden Unit Perniagaan Teknologi Maklumat dan Mudah Alihnya, Lee Jui Siang, berkata untuk tujuan itu, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi perbankan tempatan.

Beliau berkata, Samsung Pay kini boleh digunakan oleh pemegang kad kredit CIMB, Citibank, Standard Chartered dan Hong Leong.

"Hanya Maybank yang menawarkan perkhidmatan Samsung Pay untuk pemegang kad kredit dan kad debit.

"Kita akan kerjasama dengan semua institusi perbankan dari semasa ke semasa," katanya pada majlis pelancarannya, di sini, sebentar tadi.

Bermula hari ini hingga 28 Februari, orang ramai boleh mengunjungi Hari Samsung Pay di KLCC Centre Court dan merasai sendiri pengalaman Samsung Pay bersama promosi khas oleh bank yang terbabit. 

Pengunjung berpeluang menjadi 100 pengguna harian pertama Samsung Pay dengan tiga transaksi pada hari sama bernilai minimum RM30 setiap satu untuk membawa pulang pengecas tanpa wayar Samsung bernilai RM279. 

Samsung Pay sesuai digunakan oleh model Samsung Galaxy S7 dan S7 edge, Galaxy Note5, Galaxy S6 edge+ dan Galaxy A Series (versi 2016 dan 2017) di Malaysia.

50 dibaca
Berita Harian X