Isnin, 27 Februari 2017 | 7:08am

Filem The Salesman ditayang sebelum Oscars di London

LONDON: Filem arahan sutradara Iran, Asghar Farhadi, berjudul The Salesman yang dicalonkan untuk filem bahasa asing terbaik, ditayangkan di Trafalgar Square di sini hanya beberapa jam sebelum majlis Oscars bermula hari ini.

Farhadi yang memulaukan Oscars berikutan perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengharamkan pelawat dari tujuh negara majoriti Islam ke negara itu, mengumumkan dua wakil terkemuka Iran-AS akan mewakili beliau dan filem yang dicalonkan dalam anugerah itu.

Beliau diwakili pelancong angkasa wanita pertama terkenal, Anousheh Ansari dan bekas pengarah Penerokaan Sistem Solar Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas AS (NASA), Firouz Naderi.

Semalam, Trafalgar Square berubah menjadi pawagam terbuka atas permintaan Datuk Bandarnya, Sadiq Khan yang menyifatkan larangan itu sebagai 'kejam' dan 'memalukan'.

Antara pencapaian dan pengiktirafan di seluruh dunia yang diterima Farhadi menerusi The Salesman termasuk dua anugerah di Festival Filem Cannes pada Mei 2016 lalu dan turut dicalonkan untuk Anugerah Golden Globe dan Critics' Choice Award.

Farhadi memenangi Anugerah Akademi pertama Iran menerusi sebuah drama domestik berjudul A Separation pada Oscars 2012. - Presstv

35 dibaca
Berita Harian X