;
Jumaat, 26 Disember 2014 | 4:26pm

Beberapa kawasan di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat

SEREMBAN: Hujan lebat lebih enam jam sejak jam 8.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini mula dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terbabit adalah Blok B dan C Ampangan, Mambau dan Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini serta Melang, Selaru dan FELDA Kepis di Kuala Pilah.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat menyebabkan pasukan bomba dihantar ke kawasan terbabit untuk memantau keadaan.

"Dua keluarga di Blok C, Ampangan, dipindahkan berikutan air naik melebihi ketinggian 0.5 meter. Penduduk berhampiran kawasan lain yang turut dinaiki air hanya dinasihat bersedia dan berwaspada.

"Pasukan berkenaan akan terus berada di kawasan banjir bagi memantau keadaan. Setakat ini, keadaan tidak bahaya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Tajul Ariffin Muhamad, berkata setakat ini hanya banjir kilat berlaku berikutan hujan berterusan, tetapi tidak mencapai tahap bencana.

Bagaimanapun, katanya MKN dan agensi kerajaan lain yang berkaitan dengan banjir memantau rapi keadaan di seluruh negeri.

173 dibaca
Berita Harian X