Selasa, 28 Februari 2017 | 8:53am

Kerja penggalian Israel musnahkan Masjid al-Aqsa


MASJID al-Aqsa.

BAITULMAQDIS: Menteri Hal Ehwal Agama Palestin Sheikh Yousif Ideis, memberi amaran Israel cuba memusnahkan Masjid al-Aqsa di timur Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Sheikh Yousif menegaskan, Israel cuba memusnahkan masjid suci itu menerusi kerja penggalian harian yang dilakukannya di bawah perkarangan rumah ibadat itu.

Beliau menambah, rejim Tel Aviv cuba mencetuskan perang agama di rantau itu dengan cubaan berterusan memusnahkan masjid berkenaan.

Kenyataan dikeluarkan selepas Jawatankuasa Islam-Kristian untuk Mempertahankan Baitulmaqdis dan Tapak Suci mengumumkan, kerja penggalian Israel itu menyebabkan beberapa lubang benam wujud di perkarangan masjid.

Sheikh Yousif mengakui tindakan Israel itu pelanggaran jelas resolusi oleh badan global dan yang terbaru, resolusi UNESCO mengutuk tindakan Israel di jajahan diduduki itu.

Pihak berkuasa Israel kerap mengeluarkan permit untuk penggalian dan arkeologi berhampiran perkarangan al-Aqsa.

Tindakan seperti itu mengakibatkan runtuhnya beberapa kediaman Palestin dan kerosakan terhadap masjid dan persekitarannya.

Masjid al-Aqsa adalah tapak suci ketiga umat Islam selepas Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. - Presstv

2263 dibaca
Berita Harian X