Ahad, 5 March 2017 | 12:50am

Adik arwah Achik pasang pengawal peribadi

RISAU akan keselamatannya selepas ditarik peminat ketika membuat persembahan di sebuah karnival di Sabah, Tajul adik kepada bekas penyanyi Spin, Achik terpaksa mengupah dua pengawal peribadi untuk menemaninya ke mana saja pergi.

Tajul atau nama sebenarnya, Tajul Arif Noor Md Shari, 18, berkata semuanya bermula apabila terlalu teruja bertemu peminat di Negeri Di Bawah Bayu, tanpa disedari turun dari pentas untuk menyanyi bersama pengunjung.

"Tidak disangka, keadaan menjadi tidak terkawal apabila saya diserbu dan ditarik peminat membuat saya kaget kerana tidak pernah berdepan situasi seperti itu.


TAJUL terpaksa berkorban gaya hidupnya bagi mengekalkan popularitinya. - Foto Aziah Azmee

"Kebetulan di hapan pentas tiada penghadang, jadi peminat mula menyerbu dan menarik saya untuk bergambar. Malah ada yang bertindak berani memeluk saya. Keadaan ketika itu sukar dikawal, ditambah pula dengan saiz tubuh saya yang kecil," katanya kepada BH Plus.

Rentetan kejadian itu, kakak dan abang iparnya melahirkan kebimbangan akan keselamatan Tajul dan mengambil keputusan mengupah pengawal peribadi sejak sebulan lalu.


ACHIK Spin

"Pengawal peribadi ini akan menemani saya bukan saja ketika menghadiri majlis dan membuat persembahan, malah ke pusat beli-belah. Kalau tidak berdua, seorang daripada mereka pasti akan bersama. Saya akui ketika keluar bersendirian, ada saja mata yang memandang," katanya.

Raih populariti mendadak

Tajul diminati remaja masa kini selepas single pertamanya, Sedalam Dalam Rindu meraih lebih 14 juta tontonan di laman YouTube sejak diperkenalkan lima bulan lalu.

Beliau langsung tidak menyangka, lagu itu memberi impak luar biasa terhadap kemunculannya, sekali gus melonjakkan namanya sebaris dengan penyanyi terkenal tanah air.


TAJUL beralih angin dengan memilih pop rock kerana mahu meneruskan legasi arwah abangnya

Sebelum tampil dengan single itu, Tajul pernah menganggotai kumpulan nasyid kumpulan nasyid kontemporari, Akhdan, sejak berusia 12 tahun lagi.

Bagaimanapun anak muda bervokal lantang itu beralih angin dengan memilih pop rock kerana mahu meneruskan legasi arwah abangnya, Achik atau nama sebenar, Abdillah Murad yang meninggal dunia akibat kemalangangan jalan raya, tujuh tahun lalu.

Menceritakan pengalaman apabila single sulungnya itu menerima 260,000 tontonan kurang 24 jam selepas dimuat naik ke laman sosial popular, Tajul mengakui, beliau berdepan kejutan luar biasa.


TAJUL pernah menganggotai kumpulan nasyid kumpulan nasyid kontemporari, Akhdan, sejak berusia 12 tahun. - Foto Mahzir Mat Isa

Tajul juga bagaikan tidak percaya apabila jumlah tontonan mencapai lima juta dalam tempoh lima hari.

"Saya akui sukar mencipta nama ketika berada dalam kumpulan nasyid. Tetapi dengan single ciptaan komposer, Alam, manakala lirik gabungan Bazil dan Iwan, Alhamdulillah sambutannya luar biasa sekali.

"Saya meraih populariti mendadak hingga jadual harian saya padat. Dalam sebulan, saya hanya dapat berehat antara empat hingga lima hari dan ada ketika, saya tidak sempat melelapkan mata," katanya.

Tajul yang masih di bangku sekolah rendah ketika populariti arwah abangnya memuncak juga mengakui, sering disamakan dengan Allahyarham Achik setiap kali membuat persembahan.

Anak bongsu 10 beradik itu bagaimanapun, akur dengan perbandingan itu malah berbangga kerana disamakan dengan arwah abangnya dan bukan penyanyi lain.


ADIK kepada vokalis kumpulan Spin, Allahyarham AchikTajul Arif Noor MD Shari. - Foto Mahzir Mat Isa

Tidak minum ais

Bagi mengekalkan popularitinya dan terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi baharu yang mencipta nama menerusi medium laman sosial, Tajul terpaksa berkorban gaya hidupnya.

Ketika kebanyakan anak muda gemar mencuba sesuatu baharu terutama soal pengambilan makanan, Tajul pula terpaksa menerapkan disiplin yang tinggi dengan mengelak daripada menikmati minuman sejuk.

"Suara saya pernah tidak keluar ketika menyanyi secara akustik bersama Sufian Suhaimi dan Aiman Tino disebabkan mengambil minuman sejuk. Ketika itu, saya kurang sihat kerana selsema. Kejadian itu membuatkan saya begitu kecewa dan sedih.

"Setiap kali menonton semula rakaman video itu, saya tidak berpuas hati dengan tahap vokal sendiri. Sejak itu, saya ingatkan diri supaya tidak mengulangi lagi kesilapan itu. Saya perlu disiplinkan diri menjaga pemakanan dan minuman," katanya.

Sementara itu, untuk mengembalikan semula nostalgia dan mengubat kerinduan peminat arwah Acik dan Siti Nordiana yang pernah popular dengan lagu Memori Berkasih, Tajul akan muncul dengan single baharu berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu selain berduet bersama penyanyi baharu, Wany Hasrita.

INFO

Nama: Tajul Arif Noor Mohd Shari

Panggilan: Tajul

Usia: 18 tahun

Asal: Negeri Sembilan

Adik-beradik: Bongsu daripada 10 beradik

INFO

- Mengimbas detik permulaan sebagai penyanyi solo, bakat Tajul disedari ramai selepas memuat naik video lagu nyanyian asal Siti Nordiana, Tak Ada Cinta Sepertinya di laman sosial.

- Tajul juga tidak menyangka bakat nyanyiannya menarik perhatian FMC untuk melamar, seterusnya bernaung di bawah label itu selama lima tahun.

644 dibaca
Berita Harian X