Ahad, 5 March 2017 | 10:24am

126 mangsa bah Segamat masih di 5 pusat pemindahan


SEGAMAT 03 MARCH 2017. ( BH JBH583H / NST / METRO ) Rumah penduduk yang dinaiki air dalam kejadian banjir Kampung Melayu Raya, Segamat, kelmarin. - Foto ihsanAPMM

SEGAMAT: Seramai 126 mangsa daripada 26 keluarga di daerah ini masih berlindung di lima pusat pemindahan berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata kawasan terbabit adalah Kampung Pogoh; Kampung Pogoh Tengah; Kampung Jabi; Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Spang Loi.

"Jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan di Kampung Seberang Batu Badak membabitkan 59 mangsa daripada 16 keluarga. Mereka masih ditempatkan di pusat pemindahan di Balai raya Batu Badak.

"Seramai 29 penduduk daripada lima keluarga dari Kampung Pogoh pula masih ditempatkan di Kompleks Penghulu Mukim Pogoh berikutan kediaman mereka masih digenangi air, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, berkata selain itu 15 mangsa di Kampung Jabi juga masih ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Agama Mukim Jabi.

"Dua lagi kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Pogoh Tengah yang membabitkan 13 mangsa daripada dua keluarga, manakala 10 mangsa daripada dua keluarga di Kampung Spang Loi masih berlindung di pusat pemindahan yang beroperasi di Sekolah Kebangsaan Spang Loi.

"Laluan antara FELDA Redong dan FELDA Selancar masih lagi ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan tanah runtuh yang berlaku pada Khamis lalu," katanya.

62 dibaca
Berita Harian X