Rabu, 8 March 2017 | 12:02am
CHUA menjadi OKU selepas mengalami kecederaan saraf tunjang dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terjatuh pada 2001. - Foto Saifullizan Tamadi

Memancing beri kepuasan


CHUA berasa amat seronok dan tenang setiap kali duduk memancing sama ada datang seorang diri atau dengan teman. - Foto Saifullizan Tamadi

BIARPUN pergerakannya terbatas kerana bergantung sepenuhnya kepada kerusi ronda, namun ia tidak menghalang Luke Chua Tze Kah, 33, untuk aktif dalam aktiviti memancing di beberapa kolam air tawar di sekitar Selangor.

Setiap minggu dia menetapkan sekurang-kurangnya lapan hingga 12 jam berada di kolam memancing di Hulu Langat atau di Shah Alam.

Sekiranya kepuasan mendarat ikan belum dicapai sepenuhnya oleh pemancing Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam masa 12 jam, Chua akan melanjutkan hingga menjadi 24 jam atau datang semula ke kolam itu beberapa jam kemudian selepas berehat atau tidur.

"Dunia saya pada hujung minggu dan cuti umum ialah memancing dari pagi hingga malam atau sampai saya sendiri keletihan.

"Saya berasa amat seronok dan tenang setiap kali duduk memancing sama ada datang seorang diri atau dengan teman," katanya ketika ditemui di Kolam Pancing Abang King, Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat.

Catat rekod ikan paling berat


CHUA menunjukkan ikan yang berjaya dinaikkannya. - Foto Saifullizan Tamadi

Tze Kah menjadi pelanggan tetap kolam itu sejak dua tahun lalu dan pernah menaikkan sehingga 40 rohu pelbagai saiz dengan terbesar 2.5 kilogram setiap kali memancing di Kolam Pancing Abang King.

Katanya, ilmu menjinakkan rohu diperoleh dengan banyak bertanya dengan kawan-kawan yang datang memancing di kolam itu.

Anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Taman Putra, Ampang itu berkata rekod ikan terberat yang pernah diciptanya beberapa kali sejak empat tahun lalu ialah menjinakkan ikan patin mekong seberat 22 kilogram, di Kolam Pancing VIP di Hulu Langat.

Dia mempunyai empat batang joran dan enam kekili berkata, berkata minat memancing dalam jiwa bermula sejak di kecil dan kerap memancing bersama kawan-kawan di Ampang.

Katanya, ketika itu kerap memancing bukan sahaja di anak sungai yang berhampiran dengan rumahnya malah sanggup menceroboh kawasan loji air di kawasan berkenaan.

"Biasanya ikan yang diperoleh akan terus dibakar di tempat memancing, suasana itu amat menyeronokkan," katanya.

Main bola keranjang


CHUA ketika ditemui di Kolam Pancing Abang King, Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat. - Foto Saifullizan Tamadi

Pemuda ini yang juga aktif dalam bidang fotografi, menjadi OKU selepas mengalami kecederaan saraf tunjang dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terjatuh pada 2001.

Katanya, selepas terlantar di hospital beberapa bulan, barulah dia dapat menerima hakikat sebagai OKU.

"Pada tahun 2005, saya terpilih sebagai pemain bola keranjang paralimpik negara dan beberapa kali mewakili negara dan berjaya membawa pulang pingat perak dalam Sukan SEA.

"Inilah yang mendorong saya, untuk tidak mudah menyerah kalah biarpun pergerakan saya amat terhad," katanya.

PROFIL

Nama: Luke Chua Tze Kah

Umur: 33

Tarikh lahir: 6 Disember 1983

Pendidikan: SPM

203 dibaca
Berita Harian X