Isnin, 29 Disember 2014 | 10:47am
PENDUDUK Kampung Paya Pulai dekat Temerloh mula berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir, di Sekolah Sukan Pahang SMK Temerloh apabila paras air mula naik di kawasan berkenaan. - Foto Hasriyashah Sabudin

Dua beradik maut, 7 cedera nahas di Kuantan

KUANTAN: Dua beradik maut manakala lima lagi anggota keluarga mangsa cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bertembung dengan sebuah Proton Preve di persimpangan Bunga Cengkih Jalan Kuantan-Bypass dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh, berkata dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mat Sharif Sulaiman, 37, seorang pemandu lori berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan adiknya, Nur Mulaikhartini Sulaiman, 26, berasal dari Machang, Kelantan.

"Mat Sharif mati di tempat kejadian manakala Nur Mulaikhartini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," katanya hari ini.

Anggota keluarga mereka yang cedera ialah, pemandu MPV, Ahmad Faisal Abu Bakar, 25; suami Nur Mulaikhartini; anak mereka, Ahmad Farish Muzzafar, 3; penumpang hadapan, Mohd Samsuri Sulaiman, 34; Siti Ramlah Sulaiman, 38; dan Adam Hariz Mohd Norizan, 1.

Menurut Abdul Aziz, pemandu Proton Preve, Dzulkifli Yaacob, 52, dan anak perempuannya, Nur Syahirah Dzulkifli, 21, dari Kampung Baru, Bentong turut cedera akibat nahas berkenaan.

"Nahas jam 1.20 pagi itu berlaku semasa MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Kuantan menghala ke Gambang.

"Tiba di lokasi kejadian, MPV itu telah melanggar lopak air menyebabkan hilang kawalan lalu berpusing dan naik ke pembahagi tengah jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Preve dari arah bertentangan.

"Mayat dihantar ke HTAA untuk bedah siasat dan semua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian jalan basah dan licin disebabkan hujan lebat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

204 dibaca
Berita Harian X