Selasa, 25 April 2017 - 2:59AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Biar PAS bersendirian pada PRU akan datang

Oleh Kadir Dikoh


PAS dan DAP tidak akan boleh duduk semeja. Dua parti ini pernah bersama dalam pakatan pembangkang, tetapi sudah berpisah.

Kedua-duanya memang sudah bercerai 'talak tiga'. Jadi apabila sudah bercerai, pertelagahan terus berlaku. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan.

Terbaharu ialah kenyataan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari supaya PAS berhenti daripada arena politik kerana tidak lagi mengutamakan kemenangan pada pilihan raya umum (PRU).

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu dilaporkan berkata, pendirian PAS berhubung kekalahan pada PRU jelas membuktikan parti terbabit kini sudah tersasar hingga tidak mencerminkan realiti sejarah dan perjuangan asalnya.

Ini membawa maksud bahawa PAS perlu dibubar dan Zairil turut mempersoalkan mengapa PAS tidak menyertai jemaah tabligh jika sekadar mahu mencari keredaan Allah.

Sebenarnya di banyak negara Islam, memang banyak parti politik bertunjangkan agama.

Liberalisasi politik ini memperlihatkan kesediaan golongan terbabit untuk bergerak masuk dalam aliran perdana, iaitu sistem demokrasi dengan mempromosikan apa yang dinamakan demokrasi Islam.

Pelbagai istilah mula diperkenalkan seperti muj-tama'al-madani (masyarakat sivil), huqud al-insan (hak asasi manusia), hurriyah (kebebasan) dan al-ta'addudiyah (kemajmukan) yang semuanya dikaitkan dengan demokrasi.

Liberalisasi politik dapat dikesan di Mesir, Maghribi, Tunisia, Algeria, Yaman dan beberapa negara Arab lain.

Di Indonesia dan Malaysia, golongan fundamentalis yang berjuang melalui politik turut mengubah haluan dan pendekatan mereka.

Dalam kes di Indonesia, dua kumpulan Islam iaitu Muhammadiah dan Nahdatul Ulama turut memainkan peranan dalam tuntutan reformasi demokrasi.

Seperti kata Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, walaupun PAS mahu kemenangan dalam PRU, pada masa sama perjuangan parti perlu sentiasa konsisten dan dengan keredaan Allah iaitu PAS mahukan dunia dan akhirat.

Oleh itu cara terbaik bagi DAP dan PAS ialah menumpukan kepada parti sendiri masing-masing.

Biarlah PAS bersendirian pada PRU akan datang dan dengan siapa PAS mahu bekerjasama - sama ada dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), terpulang.

Sejak 1951, PAS sudah berjuang dan usia itu sendiri membuktikan PAS tidak perlu parti lain untuk memberi 'tunjuk ajar' ke mana harus arah perjalanannya dalam politik.

DAP perlu ingat PAS ada kekuatan tersendiri sendiri terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Berdasarkan hakikat ini jugalah, PPBM beria-ia mahu mengadakan kerjasama dengan PAS, bagi menyaingi UMNO di kawasan pengundi majoriti Melayu itu pada PRU akan datang.


Trending

    Disyorkan