Selasa, 25 April 2017 - 3:12AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kakitangan penuh dedikasi penggerak Shinkansen


REKOD keselamatan dan ketepatan masa cemerlang kereta api berkelajuan tinggi Jepun adalah kerana tenaga pekerjanya yang tekun dan cukup terlatih.

ANTARA pengalaman paling menarik di Jepun adalah perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen. Apa yang menakjubkan bukan sahaja kadar kelajuannya yang mengurangkan masa perjalanan tetapi juga kelancaran perjalanan yang ditawarkannya.

Sama ada sewaktu pembelian tiket atau ketika menunggu di platform stesen mahupun di sepanjang perjalanan, operasi Shinkansen begitu sempurna sekali.

Kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen sememangnya menggunakan teknologi yang amat canggih dalam memastikan sistemnya adalah yang paling utuh. Namun begitu, rahsia kecemerlangan perkhidmatan Shinkansen terletak pada disiplin dan dedikasi para pekerjanya.

Di setiap stesen kereta api, kakitangan Sinkansen rata-ratanya berpengetahuan tinggi dan bersikap amat profesional.

Mereka begitu teliti di dalam menjalankan tugas masing-masing. Malah, pelancong yang tidak fasih bertutur ataupun tidak boleh membaca bahasa Jepun juga boleh menggunakan Shinkansen tanpa sebarang masalah atau keraguan.

Misalnya, di beberapa stesen kereta apinya, petugas Shinkansen akan menyebarkan risalah kepada para pelancong dengan penerangan cara untuk menggunakan mesin membeli tiket yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris.

Di platform stesen kereta api pula, para penumpang akan beratur di barisan yang telah ditetapkan.

Kereta api akan tiba dan bertolak pada waktu yang tertera di papan tanda.

Konduktor stesen akan bertindak untuk memastikan kesemua aturan ini berjalan dengan sebaiknya dan segala tatatertib dipatuhi.

Osamu Onodera merupakan pengawal trafik Shinkansen yang amat berpengalaman dalam urusan rangkaian kereta api tersebut.

Onodera yang berusia 51 tahun mempunyai pengetahuan yang luas di dalam bidang operasi Shinkansen kerana beliau pernah berkhidmat sebagai seorang konduktor dan pemandu kereta api.

Beliau juga pernah bertugas di bahagian penyelenggaraan kereta api dan di pusat kawalan operasi.

"Tugas saya ialah untuk memastikan operasi Shinkansen berjalan lancar. Bagi saya, pekerjaan ini adalah yang terbaik untuk memahami keseluruhan sistem kereta api ini.

Tambahan lagi, tugas ini amat bersesuaian dengan perkembangan karier saya," kata Onodera yang berkelulusan Sarjana dalam jurusan Sains Bahan.

Shinkansen amat terkenal dengan ketepatan waktunya dan hampir sentiasa mengikut jadual yang ditetapkan.

Kelewatan di dalam perjalanan mungkin merupakan perkara biasa dalam penggunaan pengangkutan awam yang lain, tetapi Shinkansen sama sekali tidak bertolak ansur dengan kelewatan jadual perkhidmatannya.

Salah satu kebanggaan utama perkhidmatan Shinkansen adalah ketetapan jadualnya yang cemerlang.

Bahkan sebarang kelewatan ketibaan atau perlepasan kereta api hanya dihitung mengikut saat dan bukannya minit.

Pada tahun 2014, purata kelewatannya adalah 54 saat, termasuklah yang disebabkan oleh bencana alam seperti gempa bumi dan ribut salji.

Rekod terbaik ketepatan jadualnya adalah pada tahun 1997, di mana purata kelewatan cuma 18 saat sahaja.

Salah satu tanggungjawab penting Onodera ialah memantau ketepatan waktu perjalanan Shinkansen. Tugas beliau ialah untuk memastikan perkhidmatan rangkaian kereta api tersebut berjalan lancar mengikut jadual.

"Saya memantau operasi kereta api Shinkansen mengikut jadual berdasarkan input komputer," kata Onodera yang bekerja syif 24-jam termasuk waktu rehat selama sembilan jam.

Walau bagaimanapun, tugas Onodera yang paling penting adalah untuk menjaga keselamatan para penumpang Shinkansen.

"Saya memberi khidmat sokongan kepada pengurusan keselamatan dan khidmat pelanggan berdasarkan maklumbalas stesen dan kakitangan.

"Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Oleh itu, kami harus bijak menilai setiap situasi sekiranya berlaku apa-apa kejadian," tambah Onodera.

Sekiranya Onodera mendapati sebarang potensi situasi yang berisiko, beliau akan memberhentikan operasi kereta api Shinkansen.

"Apabila saya sedar terdapat bahaya, saya akan memberhentikan Shinkansen.

"Keselamatan merupakan keutamaan. Kami hanya akan membenarkan kereta api kembali beroperasi sekiranya segala syarat operasi kereta api berkelajuan tinggi ini dipenuhi," tekan beliau.

Onodera amat berbangga kerana Shinkansen belum pernah mempunyai sebarang rekod kemalangan maut semenjak ia mula beroperasi pada tahun 1964.

"Tiada sebarang kemalangan maut yang direkodkan di dalam sejarah 53 tahun Shinkansen, iaitu semenjak ianya mula beroperasi pada tahun 1964 lagi.Kami amat bernasib baik kerana belum ada penumpang yang mengalami sebarang kemalangan jiwa dan kami terus menerima sokongan padu penumpang," kata Onodera yang juga mamantau penyelenggaraan gerabak dan peralatan mengikut jadual.

Onodera juga bertanggungjawab untuk merancang semula pelan operasi Shinkansen setelah berlakunya kemalangan bagi memastikan operasinya kembali lancar.

Beliau dan rakan setugasnya mampu untuk terus memastikan tahap tertinggi keselamatan dan ketetapan waktu Shinkansen kerana mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk terus belajar dan mengembangkan pengetahuan mengenai pekerjaan ini.

"Setiap hari, kami akan berlatih menggunakan stimulator untuk membuat persiapan menghadapi situasi genting semasa bertugas di pusat kawalan trafik. Kami juga sentiasa mengadakan latihan dan kerjasama dengan kakitangan lain dengan menggunakan stimulator dan gerabak sebenar," kata Onodera.

Beliau mempunyai minat yang tinggi terhadap pekerjaannya sebagai pegawal trafik kerana beliau dapat mempelajari segala selok belok sistem operasi Shinkansen serta alirannya secara holistik.

"Saya begitu gembira kerana tugas kami dapat membuatkan pelanggan tersenyum," kata Onodera. "Kami bertugas sebagai satu pasukan dengan menyokong antara satu sama lain.

Keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan perlu terus dijamin kerana kami bekerja mengikut sistem rotasi."

KERETA api berkelajuan tinggi Shinkansen. - Foto ihsan pembaca

Trending

    Disyorkan