Isnin, 13 March 2017 | 7:05pm

China minat teroka 4 sektor pelaburan di Kedah


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang (tiga dari kanan) yang melakukan kunjungan hormat di pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darulaman, turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan,Perdagangan Dalam Negeri,Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (empat dari kanan). - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: China berminat menjalin kerjasama dengan Kedah dalam meneroka empat industri di negeri ini membabitkan sektor perikanan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan getah.

Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, berkata peluang itu dilihat cerah untuk diterokai selepas syarikat dari negara berkenaan berjaya menjalinkan kerjasama melalui pelaburan RM3 bilion menerusi projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya yakin kerjasama yang dijalankan melalui empat industri itu kelak khususnya KIFT dalam masa terdekat ini berupaya mempromosikan perdagangan dua hala antara China dan Kedah.

"Kita berminat untuk membawa kerjasama ini ke peringkat lebih tinggi dalam merancakkan sektor ekonomi di kedua-dua negara dan sehingga kini kita nampak ia boleh dilakukan melalui empat industri yang ada di Kedah.

"Yang pertama tentulah melalui projek KIFT di mana syarikat di China boleh menyumbang dalam sektor pemasaran dan tenaga kerja, ...kita boleh mewujudkan terminal perikanan bertaraf dunia dengan teknologi moden," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Wisma Darul Aman, di sini, sempena lawatannya ke Kedah.

Mengulas industri getah, Huikang berkata, berikutan China mempunyai teknologi maju khususnya membabitkan sumber kewangan dan aspek pengurusan, pihaknya mahu ia dibawa ke Kedah melalui industri getah.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber getah, kelebihan yang ada pada China dan Kedah boleh disatukan melalui kerjasama membangunkan industri berasaskan bahan semulajadi itu di sini.

"Begitu juga melalui industri solar khususnya aspek tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan, ...kita mahu lebih ramai pelancong China datang ke Langkawi khususnya kerana ia terkenal sebagai antara pulau yang berupaya menarik kunjungan pelancong.

"Apa pun kita harapkan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan di Langkawi dapat ditingkatkan dalam menampung kedatangan pelancong dari China, sekali gus membuatkan mereka gembira dalam kunjungan ke sini," katanya.

140 dibaca
Berita Harian X